KENINGAU - Seorang kakitangan hospital maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Dabata berhampiran sebuah pasar raya di sini petang Sabtu.Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa maut, Simon Jibit, 48, yang bertugas sebagai pembantu pergigian di Hospital Tambunan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan dipandunya.Seorang lagi mangsa, Rina Maria P.P Gundorong, 38, yang juga kakitangan hospital sama, mengalami kecederaan parah dalam kemalangan berkenaan.Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah Perodua Alza dan Toyota Avanza."Hasil siasatan awal mendapati Toyota Avanza yang dipandu mangsa wanita baru keluar dari simpang sebuah pasar raya sebelum dilanggar Perodua Alza yang datang dari arah jalan utama."Akibat perlanggaran itu, Toyota Avanza terbabas ke bahu kiri jalan lalu melanggar sebuah kenderaan lain yang diparkir, menyebabkan pemandunya mengalami kecederaan parah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.Beliau berkata, Perodua Alza pula terbalik beberapa kali sebelum pemandunya tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.Menurutnya, mangsa yang parah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala mayat mangsa maut diserahkan kepada Bahagian Forensik bagi tujuan bedah siasat."Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.