GUA MUSANG – Mangsa lemas, Mohamad Fakarudin Abdul Halim@Awang, 40, ditemukan pada jarak tiga meter dari lokasi terakhir dia dikhuatiri tenggelam selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Relai di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir 1, di sini pada Ahad.Selepas hampir 20 jam hilang, mayat pekerja ladang yang dikatakan cuba menyelamatkan anak lelakinya berusia 10 tahun daripada dihanyutkan arus itu dijumpai oleh anggota bomba kira-kira jam 12.27 tengah hari.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Penguasa Bomba Kanan Nor Azizi Che Noh berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu dilakukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA)."Operasi tamat dan ditutup pada jam 2.05 petang. Seramai lapan anggota telah menjayakan SAR itu."Jenazah mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.Sinar Harian sebelum itu melaporkan seorang ayah dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan anak lelakinya berusia 10 tahun yang dihanyutkan arus deras Sungai Relai di RKT Kesedar Lebir 1 di sini pada Sabtu.Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Mohamad Fakarudin dikatakan tenggelam selepas berjaya menyelamatkan anaknya sebelum dihanyutkan arus deras sungai.Menurut rakannya, Mohamad Zukhairul Ismail, 40, semasa kejadian, isteri serta anaknya ke sungai berkenaan bersama Mohamad Fakarudin dan keluarga."Kejadian itu berlaku apabila anak lelaki Mohamad Fakarudin dikatakan mahu mengambil seliparnya yang dihanyutkan air di kawasan cetek."Kemudian anaknya itu hanyut kerana arus deras. Rakan kami ini cuba menyelamatkan anaknya itu."Pada awalnya mereka berdua tenggelam kemudian timbul kembali dan Mohamad Fakarudin dikatakan telah mencampakkan anaknya ke tebing sebelum dia dibawa arus deras," katanya ketika dihubungi.