Scammer guna psikologi, mangsa mudah terperangkap

SHAH ALAM – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan menggesa MCMC mempergiat usaha menyebar maklumat berkaitan modus operandi scammer yang sukar dikenal pasti mangsa kerana tindakan licik mereka.Pertubuhan Jalinan Sahabat Nusantara (Jasanusa), Samsudin Awang berkata, tindakan segera perlu dimulakan kerana setiap detik tertangguh untuk melindungi masyarakat, pada detik itu juga penjenayah sudah berjaya mencipta modus operandi baharu."Pada akhirnya kita tidak akan mampu lagi mengejar kepantasan inovasi mereka kerana masih tertangguh-tangguh untuk bertindak. Taktik terbaru penjenayah siber yang menggunakan pendekatan psikologi untuk memperdaya orang ramai melalui panggilan telefon perlu segera dibendung daripada menular," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.Menurut beliau, antara naratif yang giat digunakan ‘phone scammer’ ketika ini adalah menakut-nakutkan mangsa kononnya mereka terbabit dengan tuduhan jenayah serius seperti pengubahan wang haram, keldai akaun, pinjaman wang palsu atau terbabit dengan kiriman barangan melalui kurier mengandungi bahan terlarang.Jelas Samsudin, pada peringkat awal sindiket akan memasang perangkap tanpa membuat ancaman kasar, sebaliknya memulakan panggilan secara formal dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai penguat kuasa daripada jabatan kerajaan seperti polis, kastam atau penguat kuasa cukai."Selepas beberapa kali berinteraksi dengan mangsa melalui panggilan telefon, mereka akan mula memujuk mangsa untuk memindahkan wang dari akaun peribadi ke akaun pihak ketiga kononnya bagi tujuan perlindungan sementara atau menyelamatkan wang daripada dibekukan oleh pihak berkuasa," katanya.Katanya, hakikatnya wang tersebut dilarikan sedikit demi sedikit melalui transaksi atas talian sehingga ke satu peringkat mangsa sedar dirinya ditipu, namun ketika itu kerugian sudah mencecah ratusan ribu, malah ada yang kehilangan jutaan ringgit."Sepanjang komunikasi, penjenayah akan meyakinkan mangsa dengan mengalih perbualan kepada beberapa individu lain kononnya pegawai atasan yang menawarkan penyelesaian terhadap ‘kes jenayah’ itu," katanya lagi.Samsudin berkata, setiap peringkat alihan panggilan menambahkan tekanan psikologi sehingga mangsa berasa terdesak dan akhirnya mematuhi arahan untuk memindahkan wang secara berulang kali, kononnya bagi mengelak sekatan pihak bank jika transaksi dibuat sekali gus dalam jumlah besar.Belum ada laporan suara dirakam guna AIPolis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap panggilan telefon tidak dikenali yang memutuskan talian secara tiba-tiba atau tidak mengeluarkan sebarang suara kerana berpotensi disalah guna bagi aktiviti penipuan.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, hasil semakan Unit Risikan JSJK setakat ini mendapati tiada laporan polis diterima berkaitan kes panggilan senyap yang dirakam dan disalah guna menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI)."Setakat ini, tiada laporan daripada mangsa yang mendakwa menerima panggilan senyap, dirakam suaranya dan kemudiannya digunakan melalui aplikasi AI untuk menipu ahli keluarga atau kenalan," katanya baru-baru ini.Bagaimanapun beliau meminta orang ramai agar tidak memandang ringan perkara tersebut kerana ia berpotensi digunakan oleh sindiket penipuan pada masa hadapan.Rusdi turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebut atau mendedahkan sebarang maklumat peribadi ketika menerima panggilan mencurigakan serta membuat pengesahan melalui talian rasmi sekiranya menerima panggilan yang mendakwa melibatkan pihak berkuasa atau institusi kewangan.Sebelum ini, media turut melaporkan Pegawai Penyiasat Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Inspektor Tai Yong Keong menyatakan panggilan senyap dipercayai digunakan sebagai kaedah saringan mangsa oleh sindiket penipuan dalam talian.Jelas beliau, sindiket akan merakam suara mangsa dalam tempoh beberapa saat yang kemudiannya boleh disalah guna dalam jenayah komersial dan penipuan."Sindiket ini berupaya mengubah atau meniru suara menggunakan bantuan teknologi AI sebelum menghubungi ahli keluarga atau kenalan mangsa bagi tujuan penipuan," ujar Yong Keong.