SENEGAL berjaya merangkul gelaran Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) buat kali kedua selepas menewaskan Maghribi, namun perlawanan akhir tersebut dibayangi insiden kontroversi apabila skuad The Lions of Teranga bertindak meninggalkan padang buat seketika sebagai tanda protes.Kekecohan bermula apabila pengadil, Jean Jacques Ndala memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah, Maghribi pada minit ke-98 ketika kedudukan masih terikat tanpa jaringan.Keputusan itu dibuat selepas Ndala dinasihatkan oleh pembantu pengadil video (VAR) untuk menyemak monitor di tepi padang susulan kekasaran pertahanan Senegal, El Hadji Malick Diouf terhadap Brahim Diaz.Dalam situasi yang mengejutkan, ketua jurulatih Senegal, Pape Thiaw yang masih berang dengan keputusan pengadil membatalkan gol pasukannya sebelum itu, mengarahkan anak buahnya keluar meninggalkan padang.Bagaimanapun, bekas penyerang Liverpool, Sadio Mane dilihat kekal di atas padang dan cuba memujuk rakan sepasukannya untuk meneruskan permainan demi semangat kesukanan.Selepas penangguhan kira-kira 17 minit, para pemain Senegal akhirnya kembali ke padang untuk menyambung aksi.Brahim Diaz, bintang Real Madrid yang juga penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol, diamanahkan mengambil sepakan penalti tersebut.Namun, sepakan ala 'Panenka' yang dilakukan Diaz terlalu lemah dan mudah ditangkap oleh penjaga gol Senegal, Edouard Mendy tanpa perlu bersusah payah, sebelum pengadil meniup wisel menamatkan masa varsiti sejurus selepas itu.Pemain tengah Villarreal, Pape Gueye kemudian muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit keempat masa tambahan, sekali gus mengesahkan kejuaraan kedua Senegal dalam tempoh lima tahun.Dalam sidang media selepas perlawanan, jurulatih Maghribi, Walid Regragui menyifatkan tindakan Senegal itu sebagai "memalukan" dan tidak "menghormati Afrika". Sementara itu, sidang media Thiaw dibatalkan selepas berlaku kekecohan di bilik media.Bagaimanapun, dalam satu temu bual bersama BeIN Sport, Thiaw mengakui kesilapannya mengarahkan pasukan keluar padang."Kami tidak bersetuju (dengan keputusan pengadil). Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai semua insiden itu. Saya memohon maaf kepada dunia bola sepak."Selepas memikirkannya, saya meminta mereka kembali (ke padang). Anda boleh bertindak melulu dalam keadaan emosi memuncak. Kami menerima kesilapan pengadil tersebut."Kami sepatutnya tidak melakukannya, tetapi ia sudah berlaku dan kini kami memohon maaf," katanya.Thiaw pada awalnya berang selepas pengadil membatalkan jaringan penyerang Crystal Palace, Ismaila Sarr yang didakwa berpunca daripada kekasaran Abdoulaye Seck ke atas Achraf Hakimi.