Gol awal setiap babak ‘matikan’ rentak The Cops

DUA gol awal pada setiap babak dilihat menjadi faktor yang ‘mematikan’ semangat serta fokus kesebelasan PDRM FC hingga tewas 1-10 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.Menurut pengendali PDRM FC, Eddy Gapil, biarpun masih mampu mengimbangi permainan walaupun dibolosi dua gol awal pada babak pertama, dua gol awal pada babak kedua nyata menjadi titik perubahan yang mematikan semangat serta fokus pemain di sepanjang perlawanan."Kita masih boleh lawan pada separuh masa pertama walaupun ketinggalan dua gol. Tetapi dua gol awal pada separuh masa kedua benar-benar menjatuhkan moral pemain."Selepas itu, kebanyakan gol yang terhasil adalah berpunca daripada kesilapan pemain kita sendiri," katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.Kekalahan itu menyaksikan skuad The Cops itu terus terperosok di dasar Liga Super dengan enam mata hasil satu kemenangan, tiga seri dan tewas 11 kali setelah mengharungi 15 perlawanan setakat ini.Sementara itu Eddy turut mengakui pasukan kendaliannya berada dalam keadaan tempang selepas kehilangan empat pemain import utama yang menjadi tulang belakang skuad.Menurutnya, pemain pertahanan dari Myanmar Kyaw Min Oo telah menyertai Terengganu FC, penyerang Henry Dlumbia dari Ivory Coast pula berhijrah ke kelab Indonesia, Bhayangkara FC, pemain pertahanan, Noel Agbre juga dari Ivory Coast (Melaka FC) dan peman tengah, Ahmad Israiwah (Jordan) pula masih dalam perbincangan untuk meninggalkan pasukan."Kehilangan mereka memberi kesan besar kepada keseimbangan pasukan secara keseluruhannya."Apa pun, kita terpaksa menyusun semula pasukan dan beraksi dengan pemain yang ada," katanya.