JITRA - Identiti dua individu yang rentung di dalam kereta terbakar akibat kemalangan di Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat sini awal pagi tadi dikenal pasti.Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata pemandu dikenali sebagai Pang Seng Chin, 20, dari Jalan Padang Telela Pauh, Arau, Perlis manakala penumpang Tan Hui Shan, 19, beralamat di Jalan Bukit Dumbar, Jelutong, Pulau Pinang.Beliau berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati Seng Chin adalah seorang peniaga manakala Hui Shan pula tidak bekerja."Bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah mendapati lelaki itu meninggal dunia disebabkan kecederaan pada bahagian dada manakala mangsa wanita maut akibat penyedutan asap kebakaran, selain kedua-duanya melecur teruk susulan kemalangan itu."Kedua-dua mangsa didapati maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan malam ini.Mohd Radzi berkata, dalam kejadian pada 1.15 pagi tadi, kenderaan Honda Civic dinaiki mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar pembahagi lorong tol menyebabkan ia terbalik dan terbakar.Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Bernama