BUKIT MERTAJAM - Tiga buah rumah teres satu tingkat di Lorong Guar Perahu 29, Taman Guar Perahu, di sini musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada awal pagi Selasa.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.29 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penanti, Bukit Mertajam dan Bandar Perda bergegas ke lokasi kejadian.Menurutnya, salah sebuah rumah yang terlibat mengalami kemusnahan kira-kira 85 peratus, manakala dua buah rumah lagi masing-masing dianggarkan hangus 35 peratus."Kebakaran itu turut melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Yaris yang musnah hampir 90 peratus serta tiga motosikal, masing-masing sebuah Honda RS (90 peratus), Honda Wave (10 peratus) dan Suzuki (15 peratus)."Dalam kejadian sama, seorang lelaki berusia 50 tahun ditemukan berada di luar rumah dalam keadaan separuh sedar sebelum dihantar ke hospital oleh pasukan perubatan untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.John Sagun berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Mat Radi Mohd Sidek dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat.Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.56 pagi sebelum dipadam sepenuhnya pada jam 5.38 pagi."Kerja-kerja pemadaman dilakukan secara ofensif dan defensif termasuk kaedah ‘fire break’ bagi mengelakkan api merebak ke rumah berhampiran," katanya.Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.40 pagi selepas kerja-kerja ‘overhaul’ selesai dilakukan dan lokasi kejadian diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk siasatan lanjut.