KUANTAN – Seorang penunggang motosikal ditahan selepas video aksinya menunggang secara berbahaya menggunakan motosikal pinjam tular di media sosial baru-baru ini.Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, lelaki berusia 20 tahun yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat itu ditahan ketika hadir ke Balai Polis Trafik Kuantan pada Selasa.Menurutnya, lelaki terbabit hadir selepas dipanggil oleh rakannya yang juga pemilik motosikal berkenaan bagi membantu siasatan."Tangkapan itu dilakukan susulan video tular berdurasi 17 saat yang memaparkan aksi sekumpulan penunggang menunggang dalam keadaan berbahaya, dikongsi melalui satu kumpulan WhatsApp sejak Ahad lalu."Berdasarkan video tersebut, pihak polis berjaya mengenal pasti pemilik salah satu motosikal yang digunakan ketika melakukan aksi menduga kelajuan dan menunggang secara berbahaya di Jalan Pintasan Kuantan."Hasil semakan ke atas nombor pendaftaran motosikal jenis Yamaha Y15 mendapati ia didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 20 tahun dari daerah ini," katanya dalam satu kenyataan.Ashari berkata, siasatan awal mendapati pemilik motosikal bukan individu yang melakukan aksi berbahaya dalam video tersebut, sebaliknya rakannya yang menunggang motosikal itu."Ketika dipanggil ke Balai Polis Trafik Kuantan, suspek mengaku secara lisan bahawa dia adalah individu dalam video tular tersebut sebelum ditahan bersama motosikal digunakan untuk siasatan lanjut," katanya.Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.