PELABUHAN KLANG – Taktik sindiket cuba menyeludup masuk hasilan haiwan tanpa permit import sah bernilai RM1.9 juta digagalkan menerusi rampasan tujuh kontena dalam operasi di Pusat Pemeriksaan Kontena CFS 4, Pelabuhan Klang Barat, pada Jumaat.Rampasan dilakukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang dalam operasi antara jam 11 pagi hingga 2 petang.Komander AKPS Pelabuhan Klang, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua kontena tersebut membawa dagangan melibatkan hasilan haiwan tanpa permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang sah.Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM1,917,292.54 dengan berat keseluruhan 159,157.93 kilogram (kg)."Tujuh kontena telah disita melibatkan produk susu UHT dari New Zealand bernilai RM136,820.96. Turut dirampas ialah itik sejuk beku dari Ireland bernilai RM964,989.13 serta susu tepung dari New Zealand dengan nilai RM815,482.45," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata, tindakan penyitaan dibuat bagi mencegah risiko kemasukan penyakit haiwan ke dalam negara selain memastikan aspek keselamatan makanan dan kepentingan kesihatan awam terus terpelihara."Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa termasuk membawa masuk hasilan haiwan tanpa permit import sah."AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan biosekuriti, kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara," ujarnya.Menurutnya, AKPS Pelabuhan Klang menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara."Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.