PELAKON Britain, Gemma Atkinson mendedahkan dia pernah ditawarkan sejumlah wang yang lumayan selepas hubungan cinta singkatnya dengan bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo, berakhir.Pasangan itu dilaporkan hanya menjalin hubungan selama empat bulan pada 2007.Ketika itu, Ronaldo sedang beraksi bersama kelab Manchester United dan belum memenangi mana-mana daripada lima anugerah Ballon d'Or miliknya, manakala Atkinson pula menetap di kawasan tersebut kerana membintangi siri televisyen Hollyoaks.Susulan perpisahan tersebut, bintang televisyen dan penyampai radio yang kini berusia 41 tahun itu diminta untuk mendedahkan kisah peribadi mengenai Ronaldo kepada umum.Menurut Atkinson, dia ditawarkan bayaran yang disifatkannya sebagai sangat lumayan.Menerusi satu temu bual bersama stesen radio Key 103 di Manchester, Atkinson berkongsi bahawa dia ditawarkan wang dalam jumlah yang besar semata-mata untuk bercakap buruk mengenai bintang sensasi tersebut.Namun begitu, Atkinson mendedahkan dia telah menolak tawaran tersebut."Apabila kami berpisah, saya ditawarkan wang yang sangat banyak untuk bercakap mengenai dirinya tetapi saya tidak mahukan perkara itu."Saya menolaknya kerana tiada apa-apa yang negatif mengenai Ronaldo, jadi saya tidak nampak sebarang sebab untuk menceritakan perkara buruk tentangnya," katanya seperti yang dipetik Daily Mail.Terdahulu, Atkinson pernah berkongsi kisah bagaimana pemain bola sepak itu cuba memikat hatinya menerusi janji temu yang ringkas dan santai iaitu hanya dengan minum teh sambil menonton siri komedi Britain, Only Fools and Horses.Biarpun hubungan mereka tidak bertahan lama, pasangan itu pernah menjadi bualan hangat dan merupakan antara dua nama paling popular di negara tersebut pada waktu itu.Ronaldo kini menjalin hubungan dengan model, Georgina Rodríguez yang dikenalinya pada 2016.