Tiada permohonan maaf, Rafizi teruskan saman terhadap Caprice

SHAH ALAM - Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli akan meneruskan saman terhadap penyanyi rap dan pempengaruh, Caprice selepas beberapa hari diberikan peluang untuk meminta maaf tidak diendahkan.Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kandungan yang dimuat naik Caprice telah menuduh beliau mempunyai kepentingan dalam syarikat miliknya, Invoke Solutions Sdn Bhd."Mengikut undang-undang, pertanyaan berbentuk tuduhan atau sindiran bukanlah satu alasan yang boleh menyelamatkan daripada dikenakan saman fitnah."Kerana terdapat konsep innuendo dan insinuation (sindiran tersirat), bertanya tetapi pertanyaan itu adalah satu helah atau menceritakan sesuatu dalam bentuk pertanyaan tetaplah memfitnah."Elemen itulah yang akan diambil kira oleh mahkamah dalam kes fitnah ini," katanya menerusi podcast Yang Berhenti Menteri (YBM) #36 bersama moderator Haziq Azfar Ishak pada Jumaat.Terdahulu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli menuntut Rafizi menurunkan semua hantaran yang didakwa berunsur fitnah di media sosial sehingga jam 5 petang pada Sabtu sebelum tindakan undang-undang diambil.Ia susulan hantaran di laman sosial Rafizi berkenaan tuduhan Caprice berhubung kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion membabitkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengannya.Mengulas lanjut, Rafizi berkata, segala dokumen termasuk carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2019 yang ditunjukkan Caprice kononnya sebagai bukti disifatkan memberi peluang besar kepadanya untuk memenangi saman.Jelas beliau, perkara itu tidak menunjukkan sebarang elemen yang boleh menuduh beliau mempunyai konflik kepentingan."Elemen yang perlu dilihat adalah rasuah yang berlaku, iaitu terdapat pemberi dan penerima wang serta elemen campur tangan."Kalau betul saya menerima, sudah lama ke dalam penjara tetapi sampai sekarang tidak berlaku. Saya pasti AMLA (Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram) Bukit Aman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara memantau setiap hari," katanya.Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, ahli perniagaan yang dikaitkan dengannya merupakan klien yang memerlukan kepakaran syarikat tersebut."Apabila Caprice mengatakan ada saham dalam Invoke, itu pun sebenarnya boleh kena saman kerana ‘preference share’ bukanlah saham sebaliknya ia berbentuk pinjaman."Untuk mengatakan ini saham berkepentingan, secara asasnya ia adalah klien. Kalau begitu, Invoke ada banyak lagi klien, habislah semua ini ada kepentingan, semua kontrak ada, boleh tengoklah," katanya.Rafizi turut berpandangan bahawa semua yang berlaku itu hanyalah untuk mengalih isu yang dibangkitkan berkenaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki."Ini sebenarnya taktik untuk mengurangkan masa dan tenaga yang ditumpukan kepada Azam Baki. Tetapi mereka memandang rendah, saya mempunyai banyak ‘lemak’ untuk dibakar sama-sama bagi menumpukan kepada kes berkenaan," katanya.