Pakej reformasi nasional lebih menyeluruh - C4 Center

SHAH ALAM - Rang Undang-Undang (RUU) pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri wajar dilihat sebagai sebahagian daripada pakej reformasi nasional yang lebih menyeluruh.Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, M Pushpan berkata, langkah itu penting bagi memastikan tadbir urus negara benar-benar telus, berintegriti dan berakauntabiliti.Menurutnya, cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun merupakan satu langkah tadbir urus yang baik serta selari dengan prinsip semak dan imbang dalam sistem demokrasi."Bagaimanapun menegaskan had tempoh jawatan sahaja tidak mencukupi untuk menangani rasuah berskala besar yang berpunca daripada kelemahan struktur kuasa dan institusi."Antara reformasi penting perlu dilaksana ialah pembaharuan pembiayaan politik bagi memastikan sumbangan politik lebih telus serta mengelakkan pengaruh korporat tidak terkawal," katanya kepada Sinar Ahad.Menurut Pushpan, selain itu, pemerkasaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu diperkukuh supaya bebas daripada pengaruh eksekutif melalui mekanisme pelantikan yang lebih telus dan pemantauan Parlimen yang berkesan.Beliau turut mencadangkan pemisahan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta pengasingan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya dengan jaminan kebebasan institusi daripada campur tangan politik.Menurutnya, RUU berkenaan merupakan permulaan yang baik, namun reformasi mesti dilaksanakan secara menyeluruh dan berteraskan institusi, bukan individu, bagi memastikan penyalahgunaan kuasa dapat dicegah pada masa hadapan.Terdahulu, RUU berkenaan akan dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada Isnin ini.Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, pembentangan bacaan kali kedua RUU Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dibuat pada 2 Mac.