CHERAS – Gara-gara tidak berpuas hati berhubung isu parkir, seorang lelaki mengamuk sambil membawa pisau sebelum melibas seorang penghuni yang cuba menenangkannya dalam kejadian di Flat Seri Melaka di sini baru-baru ini.Dalam kejadian itu, mangsa yang tampil membantu mengalami kecederaan luka di tangan kiri akibat dilibas suspek.Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung kejadian mendatangkan cedera menggunakan senjata pada 20 Februari lalu.Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek bertindak menakut-nakutkan penghuni flat berkenaan dengan membawa sebilah pisau."Mangsa yang cuba menenangkan suspek telah dilibas menggunakan pisau dan mengalami luka di tangan kiri sepanjang kira-kira tiga sentimeter."Mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Ampang dan tidak ditahan wad," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Mohd Rosdi berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia lewat 20-an ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 21 Februari lalu.Menurutnya, semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai 10 rekod lampau tidak dikehendaki."Bagaimanapun, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah."Tiada penghuni lain yang mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut," katanya.Beliau berkata, suspek direman selama empat hari bermula 21 Februari lalu hingga 24 Februari ini bagi membantu siasatan lanjut."Motif kejadian dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek berkaitan isu parkir di kawasan flat berkenaan."Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.