KUALA LUMPUR - Tindakan pantas polis berjaya memberkas dua individu selepas tular rakaman video sebuah kereta yang dipandu secara melulu dan berbahaya di ibu negara.Tangkapan dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman pada Sabtu.Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan mendapati sebuah kenderaan jenis Toyota Vios berwarna hitam telah dipandu secara zig-zag, mencucuk rapat kenderaan di hadapan serta menukar haluan secara gopoh tanpa memberi isyarat."Tindakan tersebut boleh membahayakan pengguna jalan raya lain."Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman telah menjalankan risikan dan berjaya menahan dua warga tempatan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan.Beliau berkata, kenderaan terbabit turut dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya."Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan lalu lintas sehingga membahayakan keselamatan awam."Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah," ujarnya.