JPJ sekat bas ekspres, tayar haus dikesan

KUANTAN – Sebuah bas ekspres disekat daripada meneruskan perjalanan selepas dikesan gagal menyelenggara tayar kenderaan dengan baik dalam pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang di Terminal Sentral Kuantan di sini pada Sabtu.Menurut kenyataan Unit Korporat JPJ Pahang pada Ahad, tindakan itu diambil anggota unit operasi jabatan itu menerusi Ops Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 bagi memastikan keselamatan penumpang laluan Kuantan ke Johor Bahru sentiasa terjamin.Susulan itu katanya, notis larangan penggunaan kenderaan dan notis arah periksa telah dikeluarkan terhadap bas berkenaan."Pihak syarikat diarahkan menyediakan bas gantian bagi membawa penumpang ke destinasi."Bas gantian itu turut menjalani pemeriksaan sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan," menurut kenyataan tersebut.Selain itu katanya, satu kompaun dikenakan terhadap pemilik bas kerana mengabaikan aspek penyelenggaraan yang boleh membahayakan penumpang.Tegasnya, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengusaha kenderaan awam yang culas dalam aspek penyelenggaraan sehingga boleh mengundang risiko kepada pengguna jalan raya.Dalam operasi berasingan, Bahagian Penguatkuasa JPJ Pahang mengeluarkan 67 notis saman menerusi Ops Khas Motosikal di sekitar bandar raya ini.Katanya, antara kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu yang sah, ubah suai tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans."Sebuah motosikal yang ditunggang warga asing turut disita mengikut peruntukan undang-undang sedia ada."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku trafik atau kenderaan tidak selamat digalakkan menyalurkannya melalui aplikasi MyJPJ (e-Aduan@JPJ) atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my untuk tindakan lanjut," katanya.