Budak 9 tahun ditemui penuh lumpur, bapa dipercayai lemas

PONTIAN - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot ketika memancing bersama anak angkatnya di Sungai Parit Bugis, di sini, pada Ahad.Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa yang berusia 56 tahun dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dan hilang, manakala anak lelakinya, 9 tahun, terselamat.Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 8.34 pagi.Menurutnya, laporan polis telah dibuat dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) sedang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pasukan Polis Marin Wilayah 2."Difahamkan bot dinaiki mereka  telah melanggar sebatang kayu yang melintang di laluan air sehingga menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai."Anak angkat mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada bot dan menyaksikan kejadian tersebut."Usaha pencarian sedang diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi.Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook, seorang lelaki menemui  kanak-kanak lelaki itu dalam keadaan penuh lumpur yang memaklumkan  bahawa bapanya dipercayai lemas terjatuh dari bot ketika memancing di sungai berkenaan.