KUALA LUMPUR - Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama di Semenanjung Malaysia dilaporkan bergerak perlahan menghala ke ibu negara petang ini berikutan orang ramai pulang selepas cuti panjang bersempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina dan sambutan awal Ramadan.Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan, setakat jam 2.15 petang, keadaan cuaca adalah baik namun peningkatan jumlah kenderaan ketara di laluan utama, menyebabkan kesesakan dan kelewatan di beberapa lokasi."Di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) laluan E1, trafik arah utara bergerak perlahan dari Gopeng ke Tapah manakala di PLUS E2, aliran trafik perlahan dikesan di Pedas Linggi ke Simpang Ampat dan Ayer Itam ke Sedenak disebabkan berlakunya kemalangan."Aliran trafik perlahan di Bandar Ainsdale menghala persimpangan Nilai Utara dan Bangi ke Kajang manakala di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, aliran trafik juga dilaporkan perlahan di Bentong ke Lentang dan Bukit Tinggi menghala Plaza Tol Gombak," katanya ketika dihubungi Bernama.Sementara itu, aliran trafik lancar di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini 24 jam menerusi talian 1-800-88-7752 dan laman X @plustrafik serta @llmtrafik. - Bernama