MCW sokong tindakan Azam Baki saman Bloomberg

KUALA LUMPUR - Setiap individu termasuk penjawat awam berhak mempertahankan reputasi dan maruah melalui saluran undang-undang sekiranya merasakan diri difitnah atau dilaporkan secara tidak adil, kata Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim.Justeru, beliau berkata MCW menyokong tindakan saman Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki terhadap Bloomberg L.P susulan penerbitan artikel berunsur fitnah berkaitan dakwaan pemilikan saham.Jais berkata prinsip kedaulatan undang-undang mesti dihormati semua pihak dan jika laporan berkenaan mengandungi elemen tidak tepat, mengelirukan atau berat sebelah, tindakan saman adalah langkah sah serta profesional."Dalam konsep negara hukum, tuduhan tidak boleh dijadikan hukuman tanpa proses perundangan yang adil. Hak untuk mengambil tindakan saman adalah hak peribadi Tan Sri Azam Baki sebagai individu."Ia bukan tanda intimidasi atau tidak menghormati kebebasan kewartawanan. Menggunakan saluran mahkamah adalah pendekatan bertamadun dalam menyelesaikan pertikaian fakta dan reputasi," katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata kebebasan media perlu disertai tanggungjawab kewartawanan yang tinggi termasuk semakan fakta, pengesahan silang sumber dan pelaporan seimbang serta menegaskan media antarabangsa tidak terkecuali daripada prinsip berkenaan."Media harus lebih adil dan berhati-hati agar tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak berkepentingan untuk membentuk naratif yang belum dibuktikan," katanya. Jais berkata MCW konsisten integriti institusi penguatkuasaan mesti dipertahankan kerana tuduhan yang tidak berasaskan fakta dan disensasikan boleh menjejaskan keyakinan rakyat serta pelabur antarabangsa terhadap sistem pentadbiran negara.Beliau turut menyeru semua pihak menghormati proses perundangan dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan keadilan kerana isu itu kini dalam proses mahkamah."MCW akan terus berdiri teguh mempertahankan integriti institusi dan memastikan perjuangan memerangi rasuah tidak dilemahkan oleh naratif yang belum diuji di mahkamah. Fakta mesti diutamakan. Integriti mesti dipertahankan," katanya. Semalam, media melaporkan Azam telah memfailkan saman terhadap Bloomberg L.P berhubung artikel berunsur fitnah berkaitan dakwaan pemilikan saham yang diterbitkan pada 10 Feb lepas. Menerusi writ saman dan pernyataan tuntutan, Azam selaku plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, ganti rugi teruk dan teladan, faedah serta kos. - Bernama