Samsuri mahu kukuhkan muafakat, laksana penambahbaikan

SHAH ALAM - Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi isyarat jelas bahawa fokus terdekat kepimpinannya adalah memperkukuh muafakat dalaman serta melaksanakan penambahbaikan struktur dan gerak kerja gabungan itu.Menurutnya, perbincangan dengan kepimpinan Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) PN akan dilakukan bagi mengadakan mesyuarat untuk menentukan pelantikan jawatan berdasarkan perlembagaan parti."Tanggungjawab baharu kepada saya ini amatlah besar, berat dan mencabar, terutamanya dalam suasana pengharapan yang tinggi diberikan oleh pelbagai pihak serta rakyat kepada PN."Ia bagi menjadi muafakat politik yang mampu membawa perubahan yang lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia pelbagai agama, bangsa, etnik dan latar belakang sosioekonomi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas dilantik sebagai Pengerusi PN yang baharu berkuat kuasa pada Ahad.Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelantikan Menteri Besar Terengganu itu dibuat bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada Januari lalu.Menurutnya, jawatan Timbalan Pengerusi pula akan disandang Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada Muhyiddin atas khidmat bakti sebagai Pengerusi PN sejak awal penubuhannya, bersama seluruh kepimpinan MPT PN yang membina gabungan berkenaan sebagai asas muafakat politik yang dapat bergerak cemerlang sehingga mampu memenangi pelbagai kerusi dalam pilihan raya lalu.