SHAH ALAM – Polis sedang mengesan empat lelaki tempatan terlibat dalam kes mencuri tabung di sebuah masjid di Seksyen 7 di sini pada Ahad.Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.36 pagi hari sama daripada seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang bekerja sebagai pengawal keselamatan masjid berkenaan.Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi dengan kesemua suspek menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza."Siasatan di tempat kejadian mendapati masjid tersebut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV)."Kita akan mendapatkan rakaman kejadian dari pihak pengurusan masjid bagi siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Ramsay berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan."Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Minazuddin Md Noor di talian 013-2236697 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55202222 bagi membantu siasatan," ujarnya.