PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan kemenangan besar 4-1 ke atas musuh tradisi, Tottenham Hotspur sebagai detik penting yang berpotensi mengubah haluan musim pasukannya dalam memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.Arteta mengakui beliau tidak dapat menyembunyikan rasa bangga selepas melihat anak buahnya kembali melebarkan jurang lima mata di puncak liga, susulan kemenangan bergaya dalam derbi London Utara di Stadium Tottenham Hotspur, awal pagi Isnin.Keciciran mata di laman Wolves sebelum ini memberi tekanan hebat kepada The Gunners, memandangkan Manchester City berupaya merampas takhta liga sekiranya memenangi baki 11 perlawanan musim ini."Selepas apa yang berlaku di Wolves, ia memang perit. Namun, itulah keindahan bola sepak."Apabila ditonton semula, sukar untuk dipercayai bagaimana kami boleh seri. Ada rasa marah, kecewa dan malu."Tetapi apa yang menggembirakan saya adalah melihat bagaimana pemain daripada pelbagai latar belakang ini bersatu."Ia menyakitkan, namun dalam masa sama mampu memberi ganjaran besar," kata Arteta.Pengendali berusia 42 tahun itu juga kelihatan lebih tenang menjelang minggu pertamanya tanpa aksi pertengahan minggu selepas dua bulan jadual padat, sambil mengingatkan anak buahnya agar mengekalkan tahap konsistensi."Kami sudah memperlihatkan karakter sebenar, tetapi ia perlu dibuktikan berulang kali. Saya amat bangga dengan cara pemain mengharungi 72 jam terakhir," katanya.Arteta turut memuji impak Eberechi Eze yang meneruskan prestasi cemerlang apabila meledak dua gol selepas mencipta hatrik dalam perlawanan derbi terdahulu."Saya dapat melihat keinginannya untuk membuktikan sesuatu. Dia juga kecewa kerana tidak diturunkan dari awal ketika menentang Wolves, dan reaksi di atas padang hari ini sangat luar biasa," katanya.Selain Eze, dua lagi gol Arsenal disumbangkan Viktor Gyokeres, manakala gol saguhati tuan rumah dijaringkan Randal Kolo Muani.