PORT DICKSON - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di KM 16.6 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) arah Seremban pada Ahad.Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, insiden itu melibatkan sebuah lori pasukan respons PLUS, pacuan empat roda (4WD) rondaan PLUS dan kereta jenis Honda CR-V yang dinaiki mangsa pada jam 6.54 petang.Mangsa yang juga penumpang hadapan Honda CR-V, cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital UCSI Port Dickson pada jam 8.10 malam."Siasatan awal mendapati sebelum kejadian, lori dan 4WD rondaan PLUS telah berhenti di lorong kecemasan bagi membantu sebuah kenderaan lain yang terbabas di tebing jalan."Keadaan cuaca ketika itu hujan lebat dan kawasan gelap tanpa lampu jalan, kemudian Honda CR-V datang dari arah sama dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar bahagian belakang lori PLUS sehingga menyebabkan ia bergerak ke depan serta melanggar bahagian belakang kereta ronda PLUS," menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.Beliau berkata, nahas itu juga menyebabkan ibu bapa mangsa mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Port Dickson serta Hospital UCSI.Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama