KOTA BHARU – Seorang peniaga makanan berusia 25 tahun disiasat pihak berkuasa agama selepas dipercayai memuat naik video memaparkan dirinya berlagak seperti wanita di media sosial, tahun lalu.Lelaki yang berasal dari Kota Bharu itu bagaimanapun belum lagi dituduh di mahkamah, sebaliknya hadir bagi urusan lanjutan bon jamin sementara kertas siasatan dilengkapkan.Peguam syarie, Muhammad Syarafi Mohd Salleh berkata, anak guamnya sebelum ini dipanggil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) pada 9 November lalu dan dibebaskan dengan bon jamin sebanyak RM3,000 bagi memastikan kehadirannya ke mahkamah.Menurutnya, bon jamin berkenaan sepatutnya tamat tempoh pada Isnin dan pihaknya akan memohon supaya ia dilanjutkan dengan amaun sama sehingga tarikh pertuduhan baharu ditetapkan."Sepatutnya hari ini pertuduhan di bawah Seksyen 19 akan dijalankan, namun terdapat beberapa isu teknikal antara pihak pendakwa dan penguat kuasa menyebabkan kertas pendakwaan masih belum lengkap."Justeru, kami akan memohon kepada pihak penguat kuasa iaitu Jaheaik supaya tempoh bon jamin dilanjutkan dan amaunnya dikekalkan," katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Syariah di Tunjong di sini pada Isnin.Muhammad Syarafi berkata, kes berkenaan dipercayai berpunca daripada aduan awam berhubung satu video yang dimuat naik di platform TikTok tahun lalu."Setakat ini, kami belum dimaklumkan secara spesifik video yang mana satu kerana anak guam saya mempunyai beberapa kandungan di media sosial."Kita perlu tunggu kertas pertuduhan untuk mengetahui butiran sebenar termasuk tarikh dan kandungan video yang dipertikaikan," katanya.