'Jangan asyik nak spin' - Tengku Zafrul jawab dakwaan Rafizi isu ART Malaysia-AS

SHAH ALAM - Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyelar tindakan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang didakwa terus memutar belit fakta berkenaan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS).Menurut beliau, dakwaan Rafizi kononnya negara kini perlu membayar tarif dua kali ganda susulan keputusan Mahkamah Agung AS bersabit ART baru-baru ini adalah tidak berasas."Rafizi janganlah asyik nak ‘spin’, letihlah nak layan. Apa benda yang kena bayar tarif dua kali ganda ni?"Bila Mahkamah Agung AS dah batalkan tarif, maknanya tarif 19 peratus yang kena pada Malaysia pun dah tak jadilah," katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Isnin.Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu menambah, konsep ART sebenarnya mudah dan tidak serumit yang digambarkan sesetengah pihak.Jelasnya, ART diibaratkan seperti insurans perjalanan yang dibayar sebelum berlepas sebagai langkah perlindungan seandainya berlaku perkara luar jangka."Orang selalu fikir takkan jadi apa-apa, tetapi bila masuk hospital luar negara dan bil cecah puluhan ribu ringgit, masa itu barulah kita faham kenapa takaful penting."ART ini pun sama, kita bersedia daripada awal. Sediakan payung sebelum hujan," ujarnya.Meskipun kes mahkamah berkenaan tarif sedang berjalan katanya, Malaysia tidak boleh berterusan menunggu sehingga keputusan muktamad diumumkan."Kalau keputusan memihak kepada Presiden AS, Donald Trump masa itu ke kita nak terhegeh-hegeh nak mula berunding? Dalam perdagangan global hari ini, siapa lambat bergerak akan bayar harga mahal."Sebab itulah kita mesti bertindak awal," tegasnya.Tambah beliau, beberapa negara lain termasuk Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK), Jepun, Korea Selatan dan yang terkini, Indonesia turut mencapai persefahaman dengan AS, bukan Malaysia sahaja."Adakah kesemua negara ini tergesa-gesa juga atau mereka juga mahu beri kepastian kepada industri masing-masing?"Akhirnya, ini bukan soal siapa yang paling kuat bercakap, tetapi soal siapa paling awal bertindak untuk melindungi ekonomi negara. Kita pilih untuk proaktif kerana setiap keputusan perdagangan ini melibatkan pekerjaan rakyat dan masa depan industri Malaysia."Ada orang tunggu ribut datang, lepas itu sibuk nak bercakap cara nak selamat. Kita pula pilih untuk pasang payung awal supaya rakyat tak perlu basah dahulu baru nak cari teduh," kata Tengku Zafrul lagi.Pada Jumaat, Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa penggunaan kuasa darurat oleh Trump untuk mengenakan tarif yang digelar sebagai timbal balas terhadap hampir semua rakan dagang AS adalah tidak berperlembagaan.Sambil mengekalkan keputusan mahkamah rendah, mahkamah tertinggi itu turut memutuskan bahawa Trump melangkaui kuasa presidennya apabila menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 untuk mengenakan tarif global secara meluas, selain duti berkaitan fentanyl yang dikenakan ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico.Keputusan untuk membatalkan sebahagian besar daripada tarif yang diperkenalkan Trump itu dinyatakan dalam dokumen setebal 170 muka surat.Terbaharu, Trump memaklumkan bakal menaikkan tarif global kepada 15 peratus daripada 10 peratus susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan kebanyakan langkah perdagangan yang diperkenalkannya sebelum ini.Trump menerusi akaun Truth Social pada Sabtu berkata, kenaikan tersebut iaitu di bawah Seksyen 122 akan berkuat kuasa serta-merta dan sebagai tambahan kepada tarif sedia ada.