SHAH ALAM - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 melaporkan sejumlah RM28.13 juta perbelanjaan Projek Pembangunan MyDigital ID (MyDID) dibuat tanpa kelulusan jawatankuasa ditetapkan oleh agensi pelaksana, MIMOS Bhd.LKAN 1/2026 dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin itu mendedahkan secara keseluruhan terdapat beberapa kelemahan dalam aspek perbelanjaan dan kawalan dalaman semasa pelaksanaan awal projek berkenaan di bawah pengurusan MIMOS Bhd.Katanya, struktur tadbir urus projek didapati tidak berfungsi sebagaimana ditetapkan termasuk ketiadaan pembentangan rasmi berkaitan kelulusan perbelanjaan dan status pelaksanaan projek dalam mesyuarat yang sepatutnya menjadi platform pemantauan."Dari sudut kewangan, mendapati sejumlah RM28.13 juta dibelanjakan tanpa kelulusan jawatankuasa ditetapkan. Jumlah itu merangkumi 11 sub-skop projek yang dibelanjakan tanpa atau melebihi penyaluran peruntukan berjumlah RM4.08 juta serta perbelanjaan melebihi kos bagi satu sub-skop sebanyak RM70,000."Keadaan tersebut menunjukkan ketidakpatuhan jelas terhadap struktur kos projek dan syarat yang dipersetujui," kata LKAN.LKAN berkata, selain itu, pihaknya mendapati perbelanjaan berjumlah RM14.09 juta membabitkan kos sumber (resource cost), emolumen, kemudahan perubatan kakitangan dan kelengkapan pejabat dibayar menggunakan dana pembangunan."Daripada jumlah itu, sebanyak RM13.10 juta atau 93 peratus adalah untuk bayaran emolumen manakala RM0.85 juta bagi 'resource cost'."Perkara terbabit didapati bertentangan dengan Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang tidak membenarkan emolumen dan perolehan kelengkapan pejabat dibiayai melalui peruntukan pembangunan, sekali gus menunjukkan perbelanjaan tidak mengikut tujuan peruntukan (purpose of vote).Menyentuh mengenai aspek perolehan, LKAN mendapati pembelian peralatan ‘Certificate Authority’ bernilai RM79,000 dibuat tanpa kelulusan Makmal Kajian Nilai dan peralatan berkenaan tidak digunakan sekali gus membawa kepada pembaziran serta mencerminkan kelemahan kawalan aset.Menurutnya, sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah, wakil MIMOS hendaklah melaksanakan kuasa dan tanggungjawab fidusiari dengan memastikan setiap proses tadbir urus dan kawalan dalaman dipatuhi bagi menjamin kepentingan terbaik Projek MyDID sentiasa terpelihara."Ini termasuk memastikan pematuhan terhadap syarat yang dikenakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada pengurusan My Digital ID Sdn Bhd (MYDIDSB) agar segala ketetapan dipatuhi sepenuhnya," ujarnya.Berikutan itu, LKAN mengemukakan beberapa syor penambahbaikan bagi mengelakkan kelemahan sama berulang pada masa hadapan.Antaranya, pihak pengurusan perlu memastikan semua perbelanjaan projek dilaksanakan dengan kelulusan jawatankuasa berkaitan serta mematuhi struktur kos dan tujuan peruntukan yang telah diluluskan, termasuk pematuhan kepada garis panduan RMK12 bagi mengelakkan penggunaan dana pembangunan untuk perbelanjaan yang tidak dibenarkan.Tadbir urus Geran Pembangunan juga perlu diperkasakan bagi memastikan setiap keputusan berkaitan peruntukan, pelaksanaan projek dan perolehan dibuat secara telus, berakauntabiliti serta berpandukan peraturan sedia ada.Langkah berkenaan dilihat penting bagi memperkukuh tadbir urus korporat, meningkatkan keberkesanan penggunaan geran pembangunan dan memastikan objektif asal Projek MyDID dapat dicapai sepenuhnya.MyDigital ID adalah sistem pengesahan identiti secara atas talian yang menekankan aspek keselamatan yang dipercayai dan selamat, serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian, tanpa menggantikan sistem MyKad.Objektif utama pembangunan MyDigital ID adalah untuk memperkukuhkan keyakinan dalam landskap digital sementara matlamat utamanya adalah meningkatkan keselamatan, kecekapan dan keselesaan dalam proses pengenalan serta pengesahan pengguna untuk perkhidmatan dalam talian dan transaksi digital.