KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar digesa tampil memberi kenyataan rasmi berhubung isu penahanan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad.Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Aiman Wan Alias berkata, tindakan segera Menteri Besar amat diperlukan bagi memelihara integriti dan kredibiliti pentadbiran negeri yang kini dilihat tercalar.Menurutnya, penahanan tersebut yang membabitkan dakwaan salah guna kuasa bukan sekadar isu individu, malah menyentuh soal budaya tadbir urus dan tahap akauntabiliti kerajaan negeri."Menteri Besar merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu perlu menyatakan pendirian rasmi serta memperincikan langkah yang akan diambil bagi memelihara integriti pentadbiran."Kepimpinan tidak boleh berdiam diri dalam keadaan yang menjejaskan keyakinan rakyat," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.Mengulas lanjut, Aiman menegaskan bahawa Exco berkenaan sewajarnya digantung tugas atau dicutikan sementara sehingga siasatan selesai dijalankan.Katanya, langkah itu penting bagi memastikan proses siasatan oleh pihak berkuasa dapat berjalan secara bebas tanpa sebarang pengaruh atau gangguan."Kerjasama penuh kepada SPRM mesti disertai komitmen terhadap ketelusan dan semakan menyeluruh terhadap projek serta keputusan berkaitan."Rakyat Terengganu berhak mendapat pentadbiran yang bersih. Jawatan awam adalah amanah kepada rakyat, bukannya keistimewaan peribadi," katanya lagi.Tambah beliau, PKR Terengganu akan terus memantau rapat perkembangan kes berkenaan bagi memastikan proses undang-undang berjalan secara adil tanpa sebarang campur tangan politik.Sebelum ini, SPRM Terengganu menahan seorang Exco kerajaan negeri kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya dengan mengarahkan dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 11.15 pagi pada Ahad ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Kemaman.Kata sumber tersebut, siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2018 dan 2020.