KOTA KINABALU - Pusat Kajian Bencana (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjangkakan gempa susulan akan berlaku selepas gempa bumi kuat terjadi di perairan Kota Kinabalu, pada awal pagi Isnin.NDRC dalam kenyataannya berkata, pemantauan perlu dilakukan juga sehingga analisis penuh telah disahkan oleh pihak berkaitan untuk keselamatan komuniti.Pemantauan berterusan perlu dilakukan khususnya di kawasan bandar pesisir pantai, memandangkan gempa susulan dijangka berlaku."Situasi ini amat membimbangkan kerana pembangunan pesat sedang berlaku di kawasan pusat bandar Kota Kinabalu yang terletak kira-kira 100 kilometer (km) dari pusat gempa."Adalah amat penting untuk memastikan semua pembangunan infrastruktur terutamanya bangunan-bangunan tinggi seperti kediaman kondominium, jambatan dan empangan adalah direka bentuk dengan mengambil kira beban bahaya gempa."Pihak pemaju dan jurutera hendaklah menilai semula reka bentuk struktur yang sedia ada, bagi memastikan semua projek pembinaan adalah mematuhi kod reka bentuk gempa dan merujuk kepada National Annex Malaysia MS EN 1998-1:2015 (2017) bagi memastikan keselamatan struktur terjaga dan bagi mengutamakan perlindungan nyawa," katanya.Selain itu, kesedaran awam mengenai risiko gempa bumi perlu dipertingkatkan agar masyarakat sentiasa bersedia dan memahami langkah keselamatan yang perlu diambil sekiranya berlaku gegaran susulan."Gempa bumi tidak dapat dielakkan, tetapi risiko dan impaknya boleh dikurangkan melalui pematuhan kepada piawaian kejuruteraan dan kesedaran masyarakat di samping tindak balas menyelamatkan diri jika berlakunya gempa bumi," katanya.Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama oleh Pengarah NDRC, Profesor Madya Ts Dr Carolyn Melissa Payus dan Ketua Kluster Gempa Bumi dan Tsunami NDRC, Profesor Madya Ir Ts Dr Noor Sheena Herayani Harith.Sebelum itu, gempa bumi kuat berukuran magnitud 6.8 berlaku di perairan berhampiran Kota Kinabalu pada jam 12.57 pagi menyebabkan penduduk di beberapa daerah sekitar Sabah merasai gegaran.Pusat gempa dikesan pada koordinat 7.0 darjah Utara dan 116.4 darjah Timur dengan kedalaman 678 kilometer (km), kira-kira 49 km barat dari Kudat.Bagaimanapun, menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tiada ancaman tsunami dilaporkan.