KUALA LUMPUR - Pihak pembelaan ahli perniagaan, Datuk Mahadi Badrul Zaman yang didakwa menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen, merayu dibebaskan dengan jaminan kerana bimbang janggutnya dicukur sekiranya ditahan di penjara sehingga kesnya selesai didengar.Peguam, Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus yang mewakili suami penyanyi dan aktivis, Heliza Helmi berusia 43 berkata demikian ketika sesi rayuan di hadapan Hakim, Azrul Darus dan Norma Ismail."Jika jaminan tidak dibenarkan dan Mahadi dipenjarakan, janggutnya yang panjang mungkin akan dipotong, ini akan memberi kesan kepada anak guam."Saya mohon mahkamah ambil kira, Mahadi perlu menanggung ibunya yang menghidap kanser dan keluarga mentua," kata peguam.Mohd Zamri berkata, anak guam yang membantu dalam mengendalikan jemaah umrah, telah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sekali gus tidak menunjukkan dia berisiko untuk melarikan diri.Bagaimanapun, Pegawai pendakwa Suruhanjaya Sekuriti (SC), Danial Imran Nasaruddin mencadangkan, mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam serta keyakinan pelabur dalam pasaran sekuriti sebelum membenarkan jaminan terhadap tertuduh.Beliau berkata, pendakwaan mencadangkan mahkamah mengenakan jumlah jaminan sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin."Ia termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SC sekali setiap bulan," katanya.Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, kedua-dua mahkamah membenarkan Mahadi diikat jamin masing-masing sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.Pada Isnin, Mahadi, 43, didakwa sebagai wakil syarikat AUF MBZ Consortium PLT menjalankan berniaga dalam sekuriti sedangkan syarikat itu bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar sebagai perniagaan sekuriti.Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah villa, di Sunway South Quay, Subang Jaya antara 14 Jun 2021 dan 15 Februari 2024.Pertuduhan dibuat mengikut subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama subseksyen 367(1) akta sama dan boleh dihukum bawah subseksyen 58(4) akta serupa.Sekiranya disabitkan atas kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau dipenjarakan selama tidak melebihi 10 atau kedua-duanya.