SHAH ALAM – Empat ahli Parlimen kerajaan menggesa semua langkah serta proses ratifikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) digantung serta-merta.Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung susulan keputusan Mahkamah Agung AS pada Jumaat yang membatalkan tarif yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump kerana didapati tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan.Chen berkata, mereka menggesa kerajaan mendedahkan secara terbuka dan sepenuhnya langkah-langkah serta proses ratifikasi yang dicadangkan untuk dilaksanakan berhubung ART antara Malaysia dan AS."Selain itu, kami menggesa supaya semua langkah dan proses ratifikasi ART digantung serta-merta memandangkan keputusan Mahkamah Agung AS bahawa semua tarif tersebut pada hakikatnya adalah tidak sah."Justeru, ART juga seharusnya dianggap tidak sah secara ab initio (dari awal)," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen pada Isnin.Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kabinet akan mengadakan perbincangan lanjut pada Jumaat ini berhubung isu tarif AS.Chen berkata, kerajaan juga diminta mengarahkan Pejabat Peguam Negara supaya segera mengeluarkan suatu pendapat undang-undang mengenai kesahihan ART susulan keputusan mahkamah itu dan membentangkan pendapat berkenaan kepada ahli-ahli Parlimen.Tambahnya, kerajaan perlu memaklumkan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai implikasi kos dan manfaat berhubung tarif global Trump sebanyak 15 peratus yang baharu diumumkan."Ia termasuk mengambil maklum bahawa tarif tersebut hanya terpakai selama 150 hari dan berkemungkinan akan tertakluk kepada satu lagi perbicaraan di Mahkamah Agung AS," ujarnya.Menurut beliau, ahli-ahli Parlimen perlu dimaklumkan mengenai semua perkembangan berkaitan potensi pemulangan semula tarif berjumlah berbilion dolar, selain memastikan mana-mana pengeksport Malaysia yang telah diminta menanggung dan membayar sebahagian daripada tarif tersebut turut menerima pemulangan."Kami ingin menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar lebih berhati-hati dan tidak membuat komitmen atau menandatangani sebarang perjanjian perdagangan atau terma lanjut yang boleh terus menjejaskan kepentingan serta kedaulatan negara."Kami juga mengulangi pendirian bahawa suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang bebas mengenai ART perlu ditubuhkan secepat mungkin untuk menyiasat bagaimana ART tersebut telah dirunding dan ditandatangani," katanya.