KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, kerugian kira-kira RM2,000 selepas kenderaannya dipercayai dipecah masuk ketika beliau berjoging di Taman Persekutuan Bukit Kiara pada Ahad.Teresa berkata, kejadian itu disedari kira-kira jam 7 malam apabila beliau kembali ke kenderaannya yang diparkir di kawasan berkenaan sekitar jam 6.15 petang."Saya mendapati cermin tingkap bahagian penumpang hadapan kenderaan telah dipecahkan dan beg tangan yang diletakkan di ruang kaki tempat duduk tersebut hilang."Saya mengalami kerugian kira-kira RM2,000 membabitkan wang tunai, termasuk wang angpau, selain kehilangan kad pengenalan, kad kredit dan beberapa dokumen penting lain," katanya dalam kenyataan di Facebook.Teresa berkata, susulan kejadian itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail."Pegawai polis yang bertugas mengendalikan laporan saya dengan sangat profesional, kemudian Pegawai Penyiasat datang untuk mengambil kenyataan saya."Unit forensik juga tiba tidak lama kemudian untuk mengambil gambar serta kesan cap jari pada kenderaan. Saya meninggalkan balai polis kira-kira jam 9.30 malam," katanya.Dalam pada itu, Teresa berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dapat mempertimbangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan parkir taman berkenaan bagi membantu siasatan polis.Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan polis berhubung kes tersebut.