Hamzah tiada hak wakili ahli Parlimen Bersatu - Tun Faisal

SHAH ALAM – Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama 16 individu yang dipecat daripada parti itu hanya boleh bertindak sebagai ahli Parlimen bebas dan tidak wajar dibenarkan mempengaruhi struktur rasmi blok pembangkang.Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Hamzah tidak mempunyai hak untuk mewakili Perikatan Nasional (PN), blok pembangkang mahupun ahli Parlimen Bersatu yang masih sah keahliannya.Ujar beliau, ia termaktub di bawah peruntukan Akta Anti Lompat Parti dan Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu, di mana ahli Parlimen yang dipecat secara automatik tidak lagi mewakili parti dan dianggap sebagai ahli bebas di Dewan Rakyat."Hamzah kini bukan lagi ahli Bersatu dan secara automatik dianggap ahli bebas di Dewan Rakyat. Begitu juga dengan Ahli Parlimen Gerik, Padang Rengas, Tasik Gelugor, Machang dan Indera Mahkota yang telah dipecat."Berdasarkan Seksyen 9(1) Akta Lompat Parti 2022, sepatutnya mereka perlu dipindahkan ke blok bebas dan tidak lagi mewakili Bersatu dan PN," katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.Sebelum ini, Hamzah menzahirkan ucapan tahniah buat Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas pelantikannya sebagai Pengerusi PN yang baharu berkuat kuasa Ahad.Hamzah bersama 18 lagi ahli Parlimen PN dalam kenyataan bersama berkata, pihaknya memberikan sokongan penuh kepada Ahmad Samsuri untuk memimpin gabungan, sekali gus mendukung PN yang dipimpin oleh Pas selaku parti tunjangnya.Menurut Tun Faisal, baki ahli Parlimen Bersatu yang masih kekal sebagai ahli parti tidak terjejas oleh akta tersebut dan terus sah mewakili parti dan PN dalam blok pembangkang."Walaupun Hamzah mendakwa ahli Parlimen Bersatu yang lain bersamanya namun, hanya ahli Parlimen yang dipecat atau meninggalkan parti boleh bergabung dengannya."Ahli Parlimen yang kekal sebagai ahli Bersatu tidak sah secara undang-undang untuk berpindah blok secara kolektif tanpa tindakan disiplin rasmi," ujarnya.Beliau berkata, sekiranya terdapat jawatan strategik yang sedang dipegang oleh ahli Parlimen yang telah dipecat, kedudukan tersebut perlu dikosongkan dan digantikan dengan wakil rakyat lain, termasuk jawatan Ketua Whip, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan pengerusi portfolio yang diperoleh atas kapasiti sebagai wakil parti."Berdasarkan kefahaman saya juga, parti boleh memohon kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memindahkan ahli yang dipecat ke blok bebas, bagi memastikan kedudukan blok pembangkang jelas dan mengelakkan kekeliruan politik."Jawatan Ketua Pembangkang mesti diisi oleh ahli yang mewakili parti dalam blok pembangkang, bukan blok bebas."Berdasarkan kefahaman saya juga, ahli bebas sepatutnya tidak layak mencalonkan atau menentukan Ketua Pembangkang kerana sifat mereka sebagai ahli Parlimen blok bebas dan tidak mewakili blok pembangkang," kata beliau.