KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak permohonan usul yang dibawa Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) bagi membincangkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam dua syarikat senaraian awam.Johari berkata, penolakan itu dibuat susulan kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat perkara tersebut.Beliau memaklumkan adalah lebih baik memberi peluang kepada jawatankuasa berkenaan untuk menjalankan siasatan agar tidak mengganggu tumpuan mereka dalam melaksanakan tugas."Saya telah sahkan menerima usul Yang Berhormat (YB) yang dikemukakan pada 12 Februari 2026. Setelah membuat semakan, saya difahamkan satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci mengenai isu itu."Oleh kerana jawatankuasa itu telah ditubuhkan dan siasatan sedang dilaksanakan, maka usul YB terpaksa saya tolak."Bagaimanapun, setelah keputusan diperoleh, saya mungkin membenarkan perbahasan berlaku," ujarnya di Dewan Rakyat.Sebelum ini, Ramkarpal bangkit untuk bertanya mengenai status usulnya.Mendengar keputusan itu, Ramkarpal berkata, usul tersebut sepatutnya boleh diterima dan dibahaskan walaupun siasatan terhadap Azam sedang dijalankan oleh jawatankuasa khas berkenaan."Pada pandangan saya, walaupun ada jawatankuasa yang menjalankan siasatan, ia tidak menghalang Dewan ini membincangkannya."Ia merupakan isu yang mendapat perhatian utama dan perlu dibincangkan dengan segera kerana melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM."Sebab itu saya kemukakan usul secepat mungkin," jelasnya.