Tabung Haji perkasa impian Haji melalui program #menujuistitoah

SHAH ALAM - Susulan keberkesanan proses tawaran Haji musim 1447H/2026M, Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan komitmen baharu iaitu program persiapan Haji #menujuistitoah bagi membantu, membimbing dan menyemarakkan lebih ramai rakyat Malaysia menunaikan Rukun Islam kelima itu.Inisiatif #menujuistitoah memberi penekanan kepada pengukuhan kesiapsiagaan Haji secara menyeluruh merangkumi persediaan kewangan, rohani, fizikal dan mental selaras pendekatan baharu TH yang mengutamakan disiplin perancangan kewangan serta persediaan awal lebih berstruktur.Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, langkah itu mencerminkan komitmen pihaknya dalam membantu, membimbing dan menyokong impian Haji rakyat Malaysia menjadi kenyataan."Misi utama TH adalah untuk membantu pendeposit merealisasikan impian Haji mereka. Ibadah Rukun Islam kelima ini menjadi impian sekali seumur hidup yang memerlukan niat tulus dan persediaan rapi."Kami percaya dapat melakukan sebaik mungkin untuk membantu di samping berhasrat menjadikan matlamat ini lebih mudah, ringkas serta lancar melalui pendidikan, teknologi digital dan perkhidmatan yang diperbaharui," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad memaklumkan, pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan bagi menyokong agenda tersebut."Kami telah menambah baik dan memperbaharui laman sesawang serta platform digital TH supaya ia lebih mudah diakses dan mesra pengguna."Pengenalan Kalkulator Simpanan Haji turut membantu orang ramai merancang simpanan secara realistik dan berstruktur," jelas beliau.Mustakim menambah, kajian terkini TH menunjukkan masih terdapat sebahagian umat Islam di negara ini yang belum memulakan simpanan Haji secara berstruktur.Bagi pendeposit sedia ada pula, katanya, perancangan lebih awal kini menjadi semakin penting, khususnya berikutan kos Haji yang kian meningkat dan tempoh menunggu giliran semakin panjang.Justeru, kata beliau, pendekatan baharu itu memastikan TH kekal berdaya tahan, bertanggungjawab serta berteraskan prinsip Maqasid Shariah, dengan kepentingan pendeposit sentiasa menjadi keutamaan."TH akan terus memperkukuh usaha pembaharuan ini bagi memastikan tahap kesiapsiagaan Haji sentiasa dipertingkatkan dan setiap musim Haji dapat diuruskan dengan lebih tersusun serta lancar," ujarnya lagi.Untuk maklumat lanjut mengenai perjalanan Simpanan Haji, sila layari laman sesawang rasmi TH.