KUALA KANGSAR – Sebuah kilang perabot yang beroperasi tanpa lesen di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Meil di sini diserbu dalam Op Bersepadu Khazanah pada Isnin.Operasi kira-kira jam 10.30 pagi itu dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Pejabat Perhutanan Daerah Kuala Kangsar, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) Perak serta Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Kangsar.Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat risikan berhubung sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan dan pembuatan perabot tanpa lesen.Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis gagal mengemukakan permit atau lesen bagi mendirikan dan mengendalikan kilang perabot seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 3(1) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1987 Negeri Perak."Seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun dipercayai pemilik premis telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut."Siasatan awal mendapati premis berkenaan beroperasi sejak awal tahun 2025 tanpa kelulusan dan lesen sah daripada pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Balveer berkata, semakan turut mendapati pemilik premis pernah diberikan dua notis peringatan oleh Pejabat Perhutanan Daerah Kuala Kangsar supaya memohon lesen namun gagal mematuhi arahan tersebut.Jelasnya, dalam serbuan itu, pihak berkuasa merampas pelbagai mesin dan kelengkapan memproses, menghasilkan perabot selain pelbagai jenis papan lapis serta perabot separa siap dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM734,990.Menurutnya, kes diserahkan kepada Pejabat Perhutanan Daerah Kuala Kangsar untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 3(1) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1987 Negeri Perak yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.Dalam pada itu, MPKK turut mengeluarkan dua kompaun terhadap pemilik premis atas kesalahan tidak mempunyai papan tanda iklan perniagaan dan gagal memiliki lesen perniagaan yang sah.Balveer Singh menegaskan, Briged Utara PGA akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti industri berasaskan kayu tanpa kelulusan sah.Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengendalian kilang perabot tanpa lesen diminta menyalurkan maklumat kepada pihaknya bagi tindakan segera.