ALOR SETAR – Seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kedah berhampiran Stadium Darul Aman di sini pada Isnin, disyaki akibat diserang sawan.Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Asuad Abdul Rashid, 35, yang bekerja sebagai pembantu restoran.Menurutnya, polis menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 pada jam 8.19 malam memaklumkan seorang lelaki terjatuh sungai berhampiran Kuil Bakar Bata."Susulan itu, anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan," katanya dalam satu kenyataan.Beliau berkata, operasi pencarian dijalankan pihak bomba di kawasan mangsa dipercayai terjatuh."Hasil temu bual saksi mendapati mangsa dilihat keluar dari Restoran Fikri Nasi Kandar sebelum menuju ke arah sungai dan terjatuh," katanya.Menurutnya, siasatan ke atas majikan mendapati mangsa mempunyai penyakit sawan dan dipercayai sedang mengalami serangan ketika kejadian."Mangsa dilaporkan secara tiba-tiba berlari ke arah sungai sebelum terjatuh."Mayat mangsa ditemukan pihak bomba kira-kira jam 12.30 tengah malam sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.