Carrick intai rekod kebal sejarah Manchester United

PENGENDALI Manchester United, Michael Carrick kini berada di ambang untuk memecahkan rekod tradisi kelab tersebut selepas melebarkan rentak tanpa kalah di bawah kendaliannya, susulan kemenangan 1-0 ke atas Everton.Merentasi dua tempoh berbeza di kerusi panas kelab itu bermula sebagai pengurus sementara pada 2021 dan kini sekali lagi menjadi pengendali interim, Carrick masih kebal tanpa tewas dalam sembilan perlawanan.Setakat ini, hanya dua pengurus United yang pernah mencatatkan permulaan karier yang lebih baik tanpa sebarang kekalahan, iaitu Ole Gunnar Solskaer (11 perlawanan) dan Herbert Bamlett (10 perlawanan).Pencapaian semasa Carrick yang merekodkan tujuh kemenangan dan dua seri meletakkannya di kedudukan ketiga dalam senarai tersebut, sekali gus mengatasi beberapa nama legenda yang pernah membimbing skuad di Old Trafford.Sejak dilantik pada Januari 2026 bagi menggantikan Ruben Amorim, jurulatih berusia 44 tahun itu mempamerkan sentuhan magis apabila berjaya mengubah nasib The Red Devils secara mendadak.Di bawah pimpinannya, United telah meraih 16 daripada 18 mata maksimum dengan rentetan kecemerlangan itu turut dihiasi dengan kemenangan ke atas pasukan gergasi seperti Manchester City, Arsenal dan Tottenham Hotspur.Susulan prestasi memukau tersebut, Carrick dinobatkan sebagai Pengurus Terbaik Bulanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi bulan Januari dan beliau jelas tidak membuang masa untuk kembali membawa pasukannya ke landasan kemenangan selepas hanya seri 1-1 berdepan West Ham United sebelum ini.Dalam pada itu, kemenangan ke atas skuad The Toffees di Stadium Hill Dickinson membolehkan United melonjak ke tangga keempat carta EPL, dengan kelebihan tiga mata di hadapan pencabar terdekat, Chelsea dan Liverpool.