SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pendidikan digital negara menerusi UFUTURE, iaitu Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) komprehensif yang dibangunkan oleh Institut Pendidikan Berterusan & Pengajian Profesional (iCEPS).Platform berkenaan bukan sahaja menjadi medium pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam talian, malah berperanan sebagai nadi ekosistem akademik yang menyokong lebih 190,000 pelajar dan 9,000 pensyarah di 13 cawangan merangkumi lebih 30 kampus di seluruh negara. Dengan lebih 600 program pengajian, UFUTURE berfungsi sebagai pusat penyampaian pembelajaran digital yang menggabungkan teknologi, inovasi serta pedagogi terkini selaras dengan keperluan pendidikan moden yang semakin dinamik.Sebagai sistem bersepadu, UFUTURE memudahkan pensyarah mengurus keseluruhan kitaran akademik bermula daripada kuliah, perbincangan, tugasan dan kuiz hingga penilaian akhir dalam satu platform digital yang tersusun serta mesra pengguna. Keberkesanannya diperkukuh melalui integrasi ciri Kecerdasan Buatan (AI) yang menyokong keperluan pembelajaran digital masa kini.Teknologi chatbot berasaskan AI dibangunkan bagi membolehkan pelajar menerima maklum balas automatik berkaitan interaksi pembelajaran dalam talian menerusi sistem tersebut. Inisiatif itu membantu memastikan hasil pembelajaran dapat dicapai dengan lebih berkesan. Pada masa sama, pensyarah turut mendapat manfaat daripada analitik prestasi yang komprehensif bagi menilai keupayaan pelajar secara menyeluruh berdasarkan tugasan dan penilaian yang dilaksanakan.UFUTURE turut menawarkan fleksibiliti melalui pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya atau hibrid. Dalam era yang menuntut kesiapsiagaan digital, kemudahan mengakses bahan kursus pada bila-bila masa mengikut keperluan kendiri kini menjadi keperluan penting dalam membentuk pemikiran kritis serta kemahiran menyelesaikan masalah.Selain itu, UFUTURE memainkan peranan signifikan dalam pembangunan Kursus Dalam Talian Terbuka Secara Besar-besaran (MOOC) dan mikro-kredensial, sekali gus membuka akses pendidikan kepada masyarakat umum serta golongan profesional untuk meningkatkan kemahiran secara modular dan pantas selaras dengan kehendak industri.Dari segi impak jangka panjang, pelaksanaan UFUTURE membawa perubahan ketara terhadap ekosistem pembelajaran UiTM dengan meningkatkan kualiti pengajaran menerusi pendekatan interaktif dan penggunaan multimedia. Pendedahan berterusan kepada teknologi digital bukan sahaja menjadikan pengalaman pembelajaran lebih menarik, malah melengkapkan pelajar dengan kemahiran abad ke-21 seperti literasi digital dan kolaborasi maya yang amat diperlukan majikan.Secara keseluruhan, UFUTURE membuktikan inovasi digital menjadi kunci untuk kekal relevan dalam era globalisasi, sekali gus meletakkan UiTM di barisan hadapan sebagai institusi pendidikan tinggi yang bersedia mendepani cabaran masa depan.