Malaysia bakal jadi negara Komanwel pertama di Asia hadkan tempoh jawatan PM

KUALA LUMPUR - Malaysia bakal menjadi negara Komanwel pertama di Asia mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan berkenaan diluluskan.Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nizamuddin Alias berkata, secara umumnya, had tempoh jawatan pemimpin negara lazimnya diamalkan dalam sistem demokrasi berpresiden.Menurut beliau, pindaan RUU tersebut memberi jaminan bahawa tiada individu memegang kuasa terlalu lama yang boleh membawa kepada salah guna kuasa atau sistem pemerintahan yang terlalu bergantung kepada seorang tokoh sahaja."Selain itu, ia dapat memperkukuhkan prinsip semak dan imbang serta menjadikan sistem pentadbiran lebih bertanggungjawab kepada rakyat."Demokrasi negara akan terus subur yang mana ia menggalakkan proses peralihan kepimpinan secara teratur dan memberi peluang kepada pemimpin generasi baharu dengan idea segar untuk memimpin negara."Perkara ini akan meletakkan negara sebaris dengan amalan demokrasi di negara-negara lain yang mengehadkan tempoh pemimpin tertinggi bagi mengekalkan kestabilan politik jangka panjang," katanya.Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Diskusi Meja Bulat: Melangkah ke hadapan - reformasi Perlembagaan dan tadbir urus untuk Malaysia moden yang dianjurkan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di sini pada Selasa.Bagaimanapun, Nizamuddin berkata, terdapat pandangan berbeza berhubung kelulusan pindaan RUU tersebut apabila ada hujah menyatakan bahawa prestasi kepimpinan lebih penting daripada had masa."Jika seorang Perdana Menteri menunjukkan prestasi cemerlang, mengehadkan tempoh perkhidmatannya dianggap akan merugikan negara."Selain itu, ia akan mengganggu kesinambungan polisi jangka panjang berikutan sesetengah dasar pembangunan negara mengambil masa lebih 10 tahun untuk membuahkan hasil," katanya.Tambah Nizamuddin, dalam sistem Parlimen, Perdana Menteri biasanya tertakluk kepada sokongan parti dan undi tidak percaya di Parlimen, berbeza dengan sistem Presiden."Had penggal tidak perlu jika mekanisme sedia ada sudah memadai untuk menukar pemimpin yang tidak cekap."Terdapat juga risiko negara kehilangan khidmat pemimpin muda yang berkaliber terlalu awal hanya disebabkan oleh kekangan perundangan," ujarnya lagi.Jelas beliau, tiada sistem pemerintahan yang sempurna namun, kekurangan itu mestilah disusuli dengan agenda penambahbaikan yang berterusan, itu yang paling penting.