RUU had tempoh PM, asing peranan Peguam Negara lonjak demokrasi negara - Wadah

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan berhubung had tempoh jawatan Perdana Menteri serta pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan lonjakan besar dalam usaha mengukuhkan institusi demokrasi negara.Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Azizuddin Ahmad berkata, sekiranya diluluskan, ia dapat memastikan pengimbangan kuasa yang lebih sihat serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran dan keadilan negra."Had tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun adalah mekanisme penting untuk mengelakkan pemusatan kuasa yang berlebihan."Ia membolehkan kepimpinan negara disegarkan secara berkala, menggalakkan persaingan sihat dalam politik, dan memastikan tampuk pemerintahan tidak menjadi 'milik peribadi' mana-mana individu atau kelompok," katanya.Beliau berkata demikian pada program Diskusi Meja Bulat: Melangkah ke hadapan - reformasi Perlembagaan dan tadbir urus untuk Malaysia moden yang dianjurkan bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Hotel Ideas di sini pada Selasa.Azizuddin berkata, pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah reformasi yang lama dituntut oleh pencinta keadilan."Dengan memisahkan fungsi nasihat undang-undang kepada kerajaan daripada fungsi pendakwaan, kita dapat menamatkan persepsi konflik kepentingan dan pendakwaan terpilih."Pendakwa Raya yang bebas daripada pengaruh eksekutif akan memastikan setiap rakyat diadili secara adil dan saksama di sisi undang-undang," katanya lagi.Jelas beliau, reformasi itu bukan sekadar perubahan prosedur, tetapi adalah asas kepada pembinaan negara bangsa yang kuat, matang, dan berintegriti."Apabila institusi-institusi utama negara berfungsi dengan telus dan profesional, keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa akan meningkat, sekaligus memacu kestabilan dan kemakmuran negara," kata Azizuddin.Beliau menggesa semua Ahli Parlimen untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi atau parti untuk meluluskan kedua-dua RUU tersebut."Wadah percaya dengan kelulusan RUU ini, negara kita akan menjadi lebih kuat, sistem pentadbiran lebih telus, dan institusi kehakiman lebih berintegriti."Reformasi ini adalah bukti bahawa Malaysia mampu berubah dan menjadi model negara demokrasi Islam yang progresif," katanya.