160 guni anak kerang belum matang dirampas

SABAK BERNAM - Sebanyak 160 guni anak kerang yang memerlukan antara 15 hingga 20 bulan untuk matang ke saiz komersial dirampas dengan nilai keseluruhan RM107,500 dalam serbuan di Jeti Bagan Sungai Pulai, di sini pada Isnin.Dalam operasi kira-kira jam 5.40 petang itu, penguat kuasa Jabatan Perikanan Negeri Selangor menahan tiga lelaki dan seorang wanita serta menyita sebuah lori jenis Isuzu tiga tan, tujuh tangguk bergalah halus dan satu resit jualan.Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, pemerhatian awal di lokasi mendapati saiz rampasan kecil antara anak dan benih kerang."Bagaimanapun bagi kes ini, analisis lanjut akan dibuat oleh pihak berkaitan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.Ujar beliau, kes itu disiasat mengikut Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002.Mengulas lanjut, katanya, kes itu merupakan tangkapan pertama direkodkan pihaknya pada tahun ini.Menurut Noraisyah, perairan Sabak Bernam dan Kuala Selangor antara kawasan semula jadi berlakunya kejatuhan anak kerang berdasarkan faktor biologi dan arus laut.Ditanya adakah wujud sindiket tertentu untuk dijual pasaran tempatan atau luar negara, Noraisyah memaklumkan, siasatan mengenai perkara itu masih dijalankan."Setakat ini, jabatan menumpukan kepada fakta kes yang ditemui di lokasi, namun sebarang elemen lain akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan lanjut," tambah beliau.Jelas beliau, penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan sumber itu tidak dieksploitasi secara tidak sah.Noraisyah berkata, secara umum benih kerang mempunyai nilai dalam sektor akuakultur dan boleh dipindahkan dari satu tapak ke satu tapak kultur lain yang berdaftar."Secara umum, sebarang sumber perikanan yang mempunyai nilai ekonomi terdedah kepada risiko eksploitasi."Aktiviti pengumpulan sumber perikanan mungkin menjadi pendapatan sampingan komuniti setempat, namun ia mesti mematuhi peraturan serta lesen ditetapkan," tegas beliau.Katanya, secara prosedur pelesenan, benih kerang bersaiz lebih empat milimeter hingga kurang 25 milimeter hanya boleh diambil selepas pengisytiharan pembukaan kawasan lesen kutipan umum oleh jabatan serta perlu mematuhi syarat ditetapkan sebelum dipindahkan ke tapak kultur berdaftar.Ditanya tentang kemungkinan terdapat peningkatan permintaan kerang di pasaran semasa Ramadan, Noraisyah berkata, pihaknya tidak membuat sebarang kesimpulan mengaitkan aktiviti itu dengan faktor bermusim."Secara biologinya, musim kejatuhan anak kerang lazimnya berlaku pada hujung dan awal tahun."Oleh itu, penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten dan dipertingkatkan pada tempoh berkenaan," tambah beliau.