SHAH ALAM - Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin memfailkan saman terhadap pengasas bersama Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dengan tuntutan RM100 juta kerana memfitnah.Ia membabitkan kenyataan Mohd Redzuan didakwa memfitnahnya sebagai pengkhianatan kepada ahli-ahli, parti serta PN sehingga diberikan gelaran ‘enam jahanam’ kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Hamzah, 69, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 10 Disember tahun lalu, menerusi Tetuan Siddiq Azani & Co dengan menamakan Mohd Redzuan, 69, selaku defendan tunggal.Berdasarkan penyata tuntutan, Ketua Pembangkang itu mendakwa defendan membuat kenyataan fitnah dalam sebuah akhbar pada 5 November 2025.Katanya, pernyataan itu membawa maksud enam Ahli Parlimen Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) yang mengemukakan sokongan kepada Anwar sebagai pengingkaran arahan parti.Justeru ia merupakan pengkhianatan kepada ahli-ahli, parti serta PN sehingga diberikan gelaran ‘enam jahanam’.Mereka ialah Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang)Kenyataan fitnah itu juga membawa maksud bahawa enam Ahli Parlimen dan Hamzah, merupakan satu sabotaj dan menjahanamkan parti.Katanya, ia turut menggambarkannya sebagai seorang ahli dan pemimpin yang tidak setia kepada parti kerana menyebabkan keenam-enam Ahli Parlimen tersebut mengingkari arahan parti."Defendan bermaksud plaintif telah merancang, menggerakkan dan bersubahat menyebabkan enam orang hli Parlimen dari parti menukar sokongan sekaligus telah mengkhianati pengundi."Kenyataan itu memberi maksud Hamzah merupakan ahli politik yang korup, tidak bermoral, tidak beretika serta tidak beramanah di mata ahli, pengundi dan rakyat," kata dokumen itu.Plaintif berkata, fitnah tersebut palsu, tidak berasas dan diterbitkan oleh defendan dengan niat jahat semata-mata mahu mencemarkan nama baik termasuk menghasut ahli parti untuk menentang plaintif.Katanya, fitnah itu menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap reputasinya sebagai Ketua Pembangkang kerana dilihat tidak boleh dipercayai kerana membuat kerjasama sulit dengan pihak yang tidak sepatutnya.Menurutnya, walaupun Notis Tuntutan bertarikh 6 November 2025 telah diserahkan namun defendan gagal untuk memohon maaf."Ini menunjukkan defendan sangat angkuh, berniat jahat dan tidak menunjukkan keinsafan atau rasa bersalah terhadap fitnah yang disiarkan."Kedudukan defendan sebagai bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menjadikan fitnah tersebut mendapat perhatian meluas serta diambil serius oleh ahli-ahli parti," katanya.Hamzah berkata, jika tindakan defendan tidak dihalang ada kemungkinan defendan akan terus mengeluarkan, menyiarkan dan menyebabkan penyiaran fitnah tersebut.Katanya, defendan juga mungkin menggunakan semula perkataan yang serupa sehingga boleh mencemarkan reputasi serta kedudukan plaintif di mata masyarakat.Susulan itu beliau memohon, injunksi untuk menghalang defendan, ejen, pekerja, wakil, pihak ketiga daripada terus menerbitkan, menyiarkan fitnah.Katanya, defendan perlu menarik balik fitnah itu dan memohon maaf dan ia perlu diterbitkan di media elektronik, akhbar harian berbahasa Melayu yang menjadi pilihan plaintif."Ia termasuk tuntutan ganti rugi am sebanyak RM50 juta manakala pampasan teruk dan teladan masing-masing RM25 juta," katanya.