JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin Wilayah Dua berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak sawit mentah (CPO) serta penjualan dan penyimpanan mercun tanpa permit menerusi Op Taring Landai, melibatkan tiga serbuan berasingan di Pasir Gudang, Skudai dan Danga Bay pada Isnin dan Selasa.Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, dalam kes pertama, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ketika melakukan aktiviti pemindahan haram CPO dari sebuah lori ke lori lain di kawasan Pasir Gudang, kira-kira jam 2 petang, Isnin."Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua lori menemukan 24 tong dram besi berisi minyak sawit mentah dan 23 tong kosong, dengan anggaran keseluruhan 4.8 tan CPO."Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau kebenaran sah daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan telah ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Ujar beliau, nilai keseluruhan rampasan bagi kes berkenaan dianggarkan RM185,100 dan disiasat di bawah Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005.Dalam perkembangan sama, beliau berkata, serbuan kedua dijalankan kira-kira jam 10 malam, Isnin di sebuah premis perniagaan di Skudai hasil maklumat awam berkaitan penjualan dan penyimpanan bahan letupan."Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dan rampasan 86 kotak mercun dan bunga api bernilai RM211,000," katanya.Seterusnya, bagi kes ketiga pula melibatkan serbuan ke atas sebuah premis kediaman di sekitar Danga Bay, Johor Bahru, kira-kira jam 12.30 tengah malam, Selasa."Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan selepas pemeriksaan menemukan 77 kotak mercun dan bunga api dengan nilai rampasan RM231,300," ujarnya.Menurut Noor Azman, kes kedua dan ketiga disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, manakala semua rampasan dibawa ke IPD Johor Bahru Utara dan IPD Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut.Tambahnya jumlah keseluruhan nilai rampasan mercun bagi kedua-dua kes mencecah RM442,300.Beliau menegaskan Pasukan Polis Marin Wilayah Dua akan terus mempergiatkan usaha membanteras aktiviti penyelewengan minyak sawit serta penjualan bahan letupan tanpa permit bagi menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat."Orang ramai juga digesa supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis berhubung sebarang aktiviti menyalahi undang-undang demi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.