Rosman susun strategi buat Pearly-Thinaah

KETUA jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak memberi penekanan besar terhadap aspek fizikal Pearly Tan-M Thinaah sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Badminton Seluruh England 2026 di Utilita Arena Birmingham dari 3 hingga 8 Mac ini.Beliau berkata, pasangan utama negara itu melalui fasa keletihan dalam beberapa minggu pertama tahun ini susulan beban latihan yang tinggi."Dalam tempoh sebulan ini, kira-kira 70 peratus fokus latihan memang tertumpu kepada peningkatan kapasiti fizikal mereka. Kami mahu meningkatkan daya tahan, kekuatan dan ketahanan di gelanggang."Bukan hanya untuk Seluruh England tetapi sebagai asas menghadapi kejohanan seterusnya kerana blok latihan selepas ini lebih singkat," katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia hari ini.Rosman berkata, peningkatan ketahanan fizikal amat penting bagi memastikan Pearly-Thinaah mampu mengekalkan rentak agresif ketika berdepan perlawanan panjang serta jadual kejohanan yang padat sepanjang musim.Dalam pada itu, beliau mengakui faktor turun naik prestasi kekal menjadi cabaran utama, terutama apabila beregu elit dari China dan Jepun sering melakukan penyesuaian taktikal ketika kejohanan berlangsung."Kami tidak boleh jangka mereka sentiasa berada dalam prestasi terbaik. Dalam realiti pertandingan, ada masa prestasi akan menurun. Persoalannya, bagaimana untuk menangani dan tetap menang walaupun tidak berada pada tahap terbaik, itu bahagian paling sukar," katanya.Rosman yang mengulas sasaran di Birmingham berkata, pasangan nombor satu negara itu tidak boleh lari daripada meletakkan matlamat tinggi untuk membawa pulang kejayaan buat negara."Sudah tentu kami mahu menang tetapi saya lihat pusingan pertama dan kedua sangat penting untuk mereka menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan suasana pertandingan."Kalau dua pusingan awal itu dapat dilalui dengan baik dan lancar, saya percaya keyakinan mereka akan meningkat dan momentum lebih positif untuk perlawanan seterusnya," katanya.Sementara itu, keputusan untuk tidak menyertai Terbuka Jerman minggu ini disifatkan sebagai langkah strategik bagi memastikan tahap tenaga pemain berada pada prestasi optimum."Definisi pemanas badan itu sebenarnya tidak wujud kerana mereka tetap perlu menang. Tahap pertandingan di Jerman juga tinggi. Tahun ini banyak pemain memilih fokus terus kepada Seluruh England, jadi kami ambil pendekatan sama untuk jaga tenaga," katanya. - Bernama