SEBUAH kelab bola sepak disiasat susulan dakwaan bahawa sistem perenjis air di stadium mereka sengaja dihidupkan beberapa jam sebelum perlawanan ditangguhkan atas alasan padang ditenggelami air.Pasukan King's Lynn Town sepatutnya melayan kunjungan South Shields untuk aksi sepak mula pada pada 14 Februari lalu, namun kelab yang berpangkalan di Norfolk itu mengumumkan penangguhan sehari sebelum perlawanan.Lebih mencurigakan, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didedahkan oleh satu sumber tanpa nama memaparkan sistem perenjis air sedang beroperasi secara aktif di padang berkenaan sebelum perlawanan.Skuad yang dikenali dengan julukan The Linnets itu kini berada hanya empat mata di atas zon penyingkiran dalam saingan Liga Kebangsaan Utara (National League North) iaitu liga divisyen keenam bola sepak Inggeris.Pasukan itu dilaporkan berdepan krisis kecederaan pemain yang serius sebelum aksi menentang South Shields, sebuah kelab yang kini berada di prestasi terbaik memburu promosi ke liga kelima.Menerusi pengumuman penangguhan sebelum ini, King's Lynn Town mendakwa: "Disebabkan jumlah taburan hujan yang tinggi serta sistem saliran yang tidak mencukupi, padang kami telah digenangi takungan air yang terlalu banyak," katanya.Bagaimanapun, susulan penyebaran rakaman CCTV terbabit, pihak pengurusan Liga Kebangsaan dalam satu kenyataan menegaskan bahawa mereka mengambil maklum mengenai dakwaan tersebut dan kini sedang menjalankan siasatan.Perlawanan tersebut kini telah dijadualkan semula pada pertengahan minggu, yang menyaksikan kelab dari Timur Laut England itu terpaksa melakukan perjalanan ke stadium The Walks untuk aksi pada 17 Mac depan.Sementara itu, Pengerusi South Shields, Geoff Thompson ketika memberitahu BBC berkata, pihaknya sedar perkara tersebut sedang dalam siasatan pihak liga."Kami juga telah melihat bukti sistem perenjis air dihidupkan untuk tempoh yang sangat lama sebelum pemeriksaan padang oleh pengadil."Pemeriksaan itu pula hanya dilakukan secara kawalan jauh melalui panggilan telefon antara pengadil perlawanan dan penjaga padang (groundsman) King's Lynn Town," jelasnya.