KUALA LUMPUR - Program Treasure Ramadan 1447H/2026M anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diteruskan lagi tahun ini dengan pendekatan lebih menyeluruh apabila menjelajah 14 negeri bagi menyantuni golongan asnaf dan komuniti setempat sepanjang Ramadan.Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan itu bermula 23 Februari hingga 13 Mac 2026, dimulakan di Perak sebelum bergerak ke negeri lain secara berperingkat sehingga ke Sabah dan Sarawak, sebelum penutupnya kembali di Selangor.Beliau berkata, pelaksanaan kali ini mengangkat tema "Menyebar Kasih, Melebar Rezeki" yang menekankan semangat perkongsian dan kebersamaan antara warga FAMA, usahawan serta komuniti."Kita ada buat kutipan sumbangan dan melihat penyertaan kakitangan FAMA yang sangat baik. Selain daripada kakitangan, usahawan juga turut serta.Selaras dengan tema program ini," katanya ketika ditemui pada program berkenaan di ibu pejabat FAMA di sini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri.Menurut Aminuddin, jelajah dilaksanakan secara berturutan bagi memastikan semangat kerjasama dan konsep sharing dan caring dapat diteruskan secara konsisten sepanjang Ramadan ini.Selepas Selangor, program ini akan bergerak ke Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis sebelum ke negeri-negeri yang lain."Kita mengharapkan program ini dapat berlangsung secara berterusan. Jadi ia dibuat secara berturutan supaya semangat bekerjasama itu dapat dirasai di setiap negeri yang terlibat," katanya.Beliau berkata, kejayaan program tersebut didorong oleh komitmen menyeluruh warga FAMA di peringkat negeri dan daerah, selain sokongan padu usahawan bimbingan agensi."Komitmen mereka amat penting dalam memastikan setiap lokasi program berjalan lancar," katanya.Mengulas pendekatan yang diambil, Aminuddin berkata program ini memberi keutamaan kepada konsep ziarah kasih dengan mengunjungi sendiri rumah penerima."Kita tidak membawa mereka ke tempat kita, sebaliknya kita menziarahi mereka untuk melihat sendiri keadaan sebenar. Kita menziarah, kita empati dan kita menyampaikan sumbangan hasil sumbangan FAMA dan usahawan," katanya.Menurut beliau, pendekatan itu memberi makna lebih mendalam kerana pihaknya dapat memahami secara langsung cabaran kehidupan yang dihadapi penerima.Sepanjang tempoh pelaksanaan, seramai 70 asnaf disantuni, membabitkan lima penerima bagi setiap negeri dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan benar-benar layak.Sumbangan yang diberikan merangkumi kit makanan keperluan asas, kit Hari Raya, buah-buahan serta duit raya bagi membantu meringankan beban penerima dalam membuat persiapan Ramadan dan Syawal.Selain penyampaian sumbangan, program itu turut diisi dengan bacaan tahlil dan doa, berbuka puasa serta solat Maghrib berjemaah bersama komuniti setempat, khususnya golongan asnaf.Aminuddin berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi manfaat dari sudut kebajikan, malah turut menyokong sektor agromakanan negara.Katanya, pelbagai aktiviti sampingan seperti Jualan Agro MADANI, kempen makan buah-buahan tempatan, edaran bubur lambuk serta lawatan ke bazar Ramadan dilaksanakan bagi membantu meningkatkan jualan usahawan dan petani tempatan sepanjang musim perayaan."Penglibatan usahawan dalam program ini bukan sahaja dalam bentuk sumbangan produk proses dan segar tetapi juga sebagai sebahagian daripada ekosistem yang sama-sama menyumbang kepada masyarakat."Secara tidak langsung, ia membuka peluang promosi produk, meningkatkan jualan Ramadan serta memperluas jaringan pasaran mereka," katanya.Beliau menegaskan, FAMA bertindak sebagai penyelaras utama dari aspek perancangan, pengumpulan dana, logistik, pemilihan penerima serta pelaksanaan program di lapangan.Kerjasama erat antara FAMA Ibu Pejabat, FAMA Negeri dan anak syarikat memastikan penyampaian bantuan dilaksanakan secara tersusun, telus dan berimpak tinggi.Aminuddin berharap Treasure Ramadan FAMA akan terus menjadi platform berterusan dalam menyemai nilai kasih sayang, empati dan kebersamaan dalam kalangan warga agensi serta komuniti."Kita mahu memastikan manfaat pembangunan sektor agromakanan bukan sahaja dirasai dari sudut ekonomi, tetapi juga diterjemahkan dalam bentuk kebajikan sosial kepada masyarakat secara menyeluruh," katanya.