KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memandang serius penyebaran kandungan menyentuh isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) di media sosial menerusi akaun milik individu yang didakwa pelajar universiti itu.Menerusi kenyataan dikeluarkan Pusat Komunikasi Korporatnya pada Rabu, UMPSA menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyebaran kandungan palsu atau berbentuk hasutan kebencian sehingga mencetuskan ketegangan kaum serta menggugat keharmonian awam.Menurut kenyataan itu, sentimen 3R tidak boleh dipandang remeh dan setiap individu perlu menjaga batasan serta sensitiviti."Siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan tatatertib di bawah Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024."UMPSA sentiasa mengingatkan semua warga universiti agar sentiasa mengutamakan sikap hormat-menghormati dan kasih sayang dalam hidup bermasyarakat," menurut kenyataan itu.UMPSA turut mengingatkan warganya agar tidak menyebarkan kandungan 3R di media sosial yang boleh menggugat keamanan negara.Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan isu tular membabitkan satu hantaran di media sosial oleh individu dipercayai penuntut universiti itu yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.Perbuatan tersebut disifatkan satu tindakan yang biadab, dan berlaku pada bulan Ramadan.Terdahulu, Pemuda UMNO Pekan menyelar perbuatan individu tersebut yang disifatkan melampaui batas kebebasan bersuara dan jelas boleh mencetuskan ketegangan antara agama serta mengganggu ketenteraman awam.Ketuanya, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, sebagai negara berbilang kaum dan agama, mereka tidak boleh berkompromi terhadap sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana perkara melibatkan 3R."Tindakan sedemikian boleh disiasat di bawah peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan."Selain itu, individu terlibat juga boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam satu kenyataan.Mohd Fakhrul Akhmal berkata, Pemuda UMNO Pekan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan menjalankan siasatan secara menyeluruh, profesional dan tanpa sebarang kompromi.Katanya, tindakan tegas perlu diambil supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain dan mengelakkan perkara sama berulang di masa akan datang."Kami juga menyeru masyarakat agar bertenang, tidak mengambil tindakan sendiri dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak menurut lunas undang-undang."Keharmonian negara tanggungjawab bersama. Menghormati agama dan kepercayaan orang lain bukan pilihan, tetapi satu kewajipan dalam negara Malaysia sejak dulu, kini dan selamanya," ujarnya.