Mahu buang air kecil alasan pemandu lori langgar lampu merah

KUALA LANGAT - Seorang pemandu lori memberi alasan mahu membuang air kecil selepas ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana melanggar lampu isyarat di Jalan Banting di sini pada Selasa.Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, rondaan yang dijalankan bermula jam 10 pagi itu bertindak menahan lori tanpa muatan terbabit untuk pemeriksaan."Pemeriksaan terhadap pemandu lelaki warga tempatan berusia 40-an itu mendapati dia tidak mempunyai Lesen Vokasional (GDL) serta Lesen Memandu Kompeten (CDL)."Pemandu itu mendakwa mahu membuang air kecil sebagai alasan atas kesalahannya melanggar isyarat lampu merah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.Tambah beliau, JPJ akan terus melaksanakan operasi berfokus bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya, khususnya kesalahan melibatkan memandu tanpa lesen, tiada insurans dan gagal memakai topi keledar.Beliau turut menggesa orang ramai agar mematuhi peraturan keselamatan jalan raya bagi mengelakkan risiko yang tidak perlu serta tindakan undang-undang."Orang ramai diseru agar menyalurkan aduan berkaitan kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan secara terus atau masa nyata (real-time) melalui aplikasi MyJPJ, e-Aduan@JPJ atau e-mel ke aduantrafik@jpj.gov.my beserta butiran lengkap aduan untuk tindakan lanjut," katanya.