Dah setahun langgar orang, tapi masih berkerusi roda

SEREMBAN - Mahkamah Majistret di sini pada Rabu menetapkan 20 Mei depan bagi menjatuhkan hukuman terhadap seorang remaja lelaki bawah umur yang memandu Honda Jazz secara berbahaya sehingga menyebabkan tiga maut dalam kejadian di Senawang, 6 Mac tahun lalu.Peguam Johan Radzi memaklumkan, mahkamah membuat keputusan terbabit selepas Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Faizudin Ahmad Zaini, memberitahu bahawa laporan akhlak lelaki yang kini berusia 18 tahun itu masih belum dapat disiapkan."Pegawai JKM memberitahu, ada laporan awal yang belum siap kerana perlu membuat rujukan silang dengan pihak hospital," katanya.Sepatutnya hukuman terhadap tertuduh diputuskan pada Rabu berdasarkan laporan akhlak dan fakta kes.Prosiding sebutan semula kes berjalan di hadapan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainudin.Terdahulu, remaja itu yang ditemani keluarganya masih hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda meskipun sudah hampir setahun kes berlalu.Imejnya juga kekal berbaju hitam, bertopi serta memakai pelitup muka.Pada 17 Disember tahun lalu, remaja berkenaan mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan semula dalam prosiding pengurusan kes.Ketika didakwa di mahkamah pada 22 April lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah dan peguamnya memberitahu akan mengemukakan permohonan representasi.Bagaimanapun, pada 19 November lalu, Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini, memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menolak representasi tersebut.Mengikut pertuduhan, tertuduh memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights di sini pada 6 Mac 2025.Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.Sebelum ini, media melaporkan Honda Jazz yang dipandu remaja lelaki itu gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.Muhammad Aidil Ramdan dan Muhammad Aswari disahkan maut di lokasi kejadian, manakala Aisar Azim meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar di sini pada 10 Mac.