Langkah Sarawak Boleh Buka Semula Tuntutan Filipina Ke Atas Sabah

PETALING JAYA – Tindakan undang-undang Sarawak mencabar kuasa Kerajaan Persekutuan ke atas pelantar benua berisiko membawa implikasi lebih besar terhadap kedudukan Sabah, termasuk membuka ruang kepada tuntutan wilayah yang diperbaharui oleh Filipina.Pakar geo-strategi, Azmi Hassan berkata, pertikaian yang pada asalnya tertumpu kepada undang-undang minyak dan gas kini berkembang menjadi isu yang lebih kompleks apabila pelantar benua turut dipersoalkan.Menurutnya, langkah perundangan Sarawak itu mencabar kesahihan tiga undang-undang Persekutuan iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974), Akta Pelantar Benua 1969 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966."Pada pandangan saya, mereka benar-benar mempertaruhkan segalanya," katanya.Azmi menjelaskan, ketiga-tiga undang-undang berkenaan merupakan asas penting kepada rangka kerja tadbir urus petroleum negara serta sistem perkongsian hasil antara Persekutuan dan negeri-negeri."Tiga undang-undang ini sangat penting kepada kewujudan Petronas, termasuk dalam soal perkongsian hasil minyak dan gas dengan negeri-negeri," ujarnya.Beliau berkata, sebelum ini Petronas mendapatkan penjelasan mahkamah berhubung bagaimana Akta Pembangunan Petroleum 1974 berinteraksi dengan undang-undang gas Sarawak.Namun, katanya, pemfailan Sarawak pada 23 Februari lalu melangkah lebih jauh apabila ia turut mempersoalkan kesahihan perundangan Persekutuan itu sendiri.Menurut Azmi, keadaan menjadi lebih rumit apabila pelantar benua dibawa ke dalam pertikaian tersebut."Undang-undang antarabangsa hanya mengiktiraf negara berdaulat sebagai mempunyai hak ke atas pelantar benua, termasuk dalam lingkungan sempadan 200 batu nautika dan Zon Ekonomi Eksklusif," katanya sambil merujuk kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).Dalam konteks itu, jelasnya, hak maritim di bawah undang-undang antarabangsa adalah milik Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan bukannya milik negeri secara individu.Beliau memberi amaran bahawa sekiranya kuasa luar pesisir ditafsir semula berdasarkan pengaturan sebelum 1963, ia berpotensi mengaburkan kedudukan kedaulatan Malaysia di mata antarabangsa."Jika Sarawak mencabar pelantar benua, ini bermaksud mereka juga mencabar UNCLOS," katanya.Azmi turut mengingatkan bahawa perkara itu sensitif kerana Filipina telah lama mengekalkan tuntutan terhadap Sabah, yang berpunca daripada pengaturan sejarah melibatkan bekas Kesultanan Sulu."Kita tahu Manila mempunyai undang-undang pelantar benua sendiri yang memasukkan Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah mereka," ujarnya.Walaupun isu tuntutan Sabah selama ini diuruskan secara diplomatik, beliau berpandangan sebarang perubahan perlembagaan atau undang-undang yang dilihat mempersoalkan kuasa Persekutuan ke atas zon maritim boleh mengundang penelitian semula oleh pihak luar."Pelantar benua adalah berasaskan undang-undang antarabangsa. Jika sebuah negeri cuba membuat petisyen berhubung perkara ini, ia memberi isyarat bahawa negara lain iaitu jiran seperti Filipina dan juga Indonesia pada tahap tertentu juga boleh melakukan perkara sama," katanya.Tambah Azmi, walaupun pertikaian itu bermula sebagai isu minyak dan gas, implikasinya jauh melangkaui soal hasil dan kawal selia."Apabila anda mempersoalkan pelantar benua, anda sebenarnya sedang memasuki domain kedaulatan," katanya.