KUALA LUMPUR – Stok fizikal beras semasa negara mampu menampung keperluan rakyat bagi tempoh 5.45 bulan sekiranya Malaysia berdepan bencana seperti banjir atau perubahan iklim yang mengakibatkan gangguan bekalan makanan.Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, setakat 3 Februari lalu, jumlah stok beras negara mencecah 1,089,285 tan metrik merangkumi 200,000 tan metrik stok penimbal dan 889,285 tan metrik stok dagangan.Menurutnya, penyediaan stok penimbal bagi komoditi utama seperti beras itu menjadi antara strategi yang dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan bekalan makanan negara sekiranya berlaku bencana."Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga melaksanakan Projek Rintis Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun melibatkan kawasan seluas 3,000 hektar secara berperingkat bermula tahun 2024 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)."Kementerian turut menaik taraf dan memodenkan sistem pengurusan air sektor pertanian dengan kerjasama awam-swasta secara berfasa bagi pembangunan dan penyelenggaraan Skim Pemindahan Air Jeniang Fasa II untuk mengoptimumkan pengurusan air ketika musim banjir dan kemarau," katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai kaedah kementerian memastikan kesinambungan bekalan makanan negara ketika bencana yang menjejaskan pengeluaran hasil.Mohamad berkata, Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) juga disediakan yang memberi perlindungan kepada pengusaha padi kecil yang terjejas akibat bencana dengan menyalurkan pampasan sehingga RM3,000 sehektar bagi kerosakan tanaman untuk memastikan pengusaha terus yakin menanam padi seterusnya menjamin bekalan padi."Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) turut disediakan menerusi penyaluran bantuan segera bagi meringankan beban kumpulan sasar yang terkesan oleh bencana, penyakit tanaman atau serangan perosak."Pada tahun 2025, bantuan bencana tanaman padi sebanyak RM5.04 juta telah disalurkan kepada 2,255 pesawah melibatkan kawasan musnah seluas 3,253.4 hektar," ujarnya.Beliau menambah, pada masa sama KPKM memperkasa industri lembu pedaging, bertujuan membiak baka menerusi Program Peningkatan Ruminan dan Program Pembiakbakaan Ternakan Ruminan melalui teknologi pembiakan berbantu bagi meningkatkan populasi induk pembiak berkualiti dalam negara."Selain itu, hasil lembu pedaging ditingkatkan melalui Program Insentif Galakan Peningkatan Produktiviti Lembu Pedaging ke arah purata kadar kelahiran nasional 60 peratus."Kita juga mengeratkan hubungan dengan negara pembekal bahan makanan utama seperti negara ASEAN, China, India, Pakistan, Brazil, Australia, New Zealand dan negara sahabat lain," kata beliau.Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, Pelan Pembangunan Baka dan Benih Akuakultur diperkukuh bagi menghasilkan benih dan induk yang berdaya tahan terhadap kesan perubahan iklim melalui Program Nucleus Breeding Centre (NBC) serta Broodstock Multiplier Centre (BMC).Katanya, di samping itu, pihak kementerian membangunkan serta memperluas Sistem Amaran Awal untuk serangan perosak seperti bena perang serta pemantauan cuaca melalui kerjasama rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).Menjawab soalan tambahan, Mohamad memaklumkan, seramai 265 pesawah dengan kawasan sawah musnah disahkan seluas 333.82 hektar membabitkan tanaman padi berusia bawah 70 hari terjejas dalam bencana banjir di Perlis pada November tahun lalu.Kata beliau, cadangan nilai bantuan kepada pesawah pula berjumlah RM292,426.32 dengan Mesyuarat Jawatankuasa Induk TBTP dijangka bersidang untuk memperaku dan meluluskan bantuan berkenaan pada 6 Mac depan."Terkini, bagi kejadian bencana kemarau di Perlis yang berlaku pada bulan ini melibatkan anggaran keluasan 300 hektar, Jabatan Pertanian negeri sedang melaksanakan siasatan dan penilaian di lapangan. Data yang telah lengkap akan dikemukakan kepada jawatankuasa teknikal."Bagi kejadian bencana pada akhir November hingga Disember lalu, permohonan pertimbangan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Induk TBTP dengan anggaran permohonan bantuan bernilai RM2.27 juta," ujar beliau.Jelasnya, ia membabitkan seramai 1,163 pesawah di lapan negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak dan Sarawak dengan keluasan musnah sebanyak 1,690.06 hektar.